16 December, 2008

Cikgu Osman yang kukenali...

Saya mula mengenali Cikgu Osman sekitar tahun 1998. Waktu itu saya baru selesai menjalani latihan rekrut di PULAKAS (sekarang dikenali sebagai PULAPOL), Kepayan. Saya menjejakkan kaki pertama kali di Balai Polis Menggatal tahun itu, tempat bertugas atau stesen yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran SPDRM Daerah Kota Kinabalu untuk saya. Waktu itu bermulalah kehidupan baru saya sebagai seorang anggota SP yang menjalankan tugas-tugas kepolisian. Pertama kali melaporkan diri, Cikgu Osman lah yang memberi tunjukajar tentang penugasan polis kepada saya. Saya masih ingat, lima kewajipan asasi anggota Polis Diraja Malaysia adalah Memelihara Undang-Undang dan Ketenteraman, Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Malaysia, Mencegah dan Mengesan Penjenayah, Menangkap dan Mendakwa Pesalah-Pesalah dan Mengumpul Risikan Keselamatan. Itulah 5 perkara yang perlu didukung apabila seseorang telah memberi kesanggupan mereka untuk bergelar anggota polis. Baiklah, mengenali Cikgu Osman, bukan kerana beliau seorang pendidik seperti guru yang mengajar murid-murid di sekolah. Dipanggil cikgu kerana dialah anggota senior waktu itu, berbanding kami anggota baru seramai 8 orang. Walaupun ada lagi beberapa anggota senior lain, tetapi Cikgu Osman telah dilantik sebagai ketua yang menjalankan tugas penyelia dan pentadbiran, walaupun waktu itu beliau masih berpangkat konstabel. Masa terus berlalu, dipendekkan cerita, hasil kesabaran, didikasi dan komitmen yang berterusan terhadap tugas dalam pasukan, akhirnya sekitar tahun 2004 - 2005, beliau telah dinaikkan ke pangkat Koperal. Sikapnya yang sangat terpuji itu akhirnya memberi pulangan lumayan apabila sekali lagi dinaikkan ke pangkat Sarjan pada awal 2008 yang lalu. Apabila saya menulis dalam blog ini bertajuk MENYAYANGI KENANGAN, Sarjan Osman menghantar emel kepada saya dan mengatakan beliau amat memahami apa yang saya tulis itu. Ini kerana Sarjan Osman (waktu itu Konstabel Osman) merupakan orang yang paling dekat dengan saya (dalam konteks peribadi), yang juga boleh berbicara mengenai hal-hal peribadi. Sekarang ini Sarjan Osman sudah berjaya mengejar cita-citanya dalam pasukan SPDRM sepertimana yang diidam-idamkannya sewaktu kami bersama-sama meredah malam, mengharungi hujan dan panas dan tak kurang juga disaat-saat indah sewaktu kami duduk minum dan bercerita di pekan Menggatal setiap kali selesai bertugas dulu. Walaupun suasana itu tidak dapat lagi kami rasai kini lantaran kesibukan tugas masing-masing, tetapi mengenali Sarjan Osman banyak memberi saya keinsafan dalam mengharungi kehidupan di alam nyata ini. Semoga Sarjan Osman akan sukses dalam tugas dan kehidupannya yang mendatang... Itulah, Cikgu Osman yang kukenali. (Foto kenangan bersama Cikgu Osman akan dipaparkan pada masa akan datang).

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya