15 December, 2008

Oh Fatimah, Hasyuda, Arun dan OM

1. "Oh Fatimah, gadis ayu, indah sungguh, parasmu, mas ayu....." Siapa tidak ingat dengan lirik lagu 60'an ini yang begitu sinonim di kalangan kita tidak kira usia. Sebenarnya lagu 'Oh Fatimah' ini menjadi pilihan Sdr. Hasyuda apabila diminta menyanyikan lagu sempena perkahwinan anak perempuannya, Syazierah di kediaman mereka di Kampung Lumadan Laut, Beaufort malam tadi. Siapa bilang Ketua Satu IPS tak boleh menyanyi? Kerana pada siangnya beliau juga telah menyumbangkan sebuah lagi lagu balada khusus untuk para hadirin yang memenuhi undangan. Tetapi sebenarnya secara peribadi, ini merupakan kali pertama JY menyaksikan Sdr. Hasyuda menyanyi kerana sebelum ini JY hanya melihat beliau membaca sajak. Orang seni sering melakukan sesuatu diluar jangkaan. Teringat kata-kata Wak Khalid Salleh, katanya "seni itu melangkaui pemikiran manusia".

2. Bagaikan telah diatur, dua artis terkenal Sabah hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan sulung Hasyuda Abadi di Kampung Lumadan Laut, Beaufort kelmarin (14/12/2008). Yang dimaksudkan ialah Mat Konggo @ OM dan Sdr. Arun, penyanyi lagu-lagu bajau, berasal dari Kudat. Dinamakan artis, OM dan Arun begitu menarik dimata hadirin kerana latar belakang seni mereka masing-masing. Arun menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa bajau (tak ingat judulnya), yang menariknya lagu tersebut adalah hasil ciptaannya lengkap dengan CD sendiri. Sementara OM menyanyikan 2 buah lagu dangdut dan menyelitkan sedikit skesta di akhir persembahannya. Katanya, "Lelaki yang berkahwin ini ada tiga bahagian. Pertama, lelaki yang bujang. Kedua, lelaki yang mendapat kebenaran isteri dan ketiga, lelaki yang gatal..." Sama-samalah kita fikirkan.

3. JY merakamkan ucapan tahniah kepada Sdr. Hasyuda dan Pn. Yazidah, atas perkahwinan anak perempuan sulung mereka Syazierah dan suami, Azrul. Semoga pasangan mempelai ini diberkati Allah SWT dan bahagia hingga ke akhir hayat. Terima kasih kepada Sdr. Hasyuda dan semua keluarganya yang memberi kepercayaan kepada JY dan Syafiq mengemudi majlis sehingga selesai tepat jam 11 malam tadi.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya