19 October, 2010

Menyertai Uji Bakat Raja Lawak Astro Musim Ke-5


Terlukir lagi satu peristiwa peribadi JY apabila berpeluang menyertai Sesi Uji Bakat Raja Lawak Astro musim ke-5 pada 17 Oktober 2010, di 1 Borneo KK. Pengalaman beraksi secara berkumpulan bersama rakan lawak baru, Lolop sangat manis. Lolop, yang hanya JY kenali sewaktu sama-sama menyertai pertandingan lawak sempena Pesta Aquaria (Pesta Air) di Pantai Meruntum, Putatan tahun lalu telah menemukan kami semula dalam satu misi dan perjuangan sama melalui kumpulan yang kami namai TAM'PAR. Benar, melawak bukan mudah, ianya mungkin berjaya bila apa yang kita ucapkan bisa membuatkan orang ketawa. Tetapi melawak juga harus berunsur tarbiah sebenarnya, kerana apabila ada medium yang mengeluarkan suara, iaitu suara kita, ia harus disertai dengan elemen-elemen nasihat. Tinggal lagi bagamiana kita boleh menterjemahkan maksud yang ingin disampaikan secara spontan dan mengelikan hati. Juri yang menilai tentu lebih arif dalam menilai dan memilih kreteria ini. Untuk rakan-rakan lain yang masih bertarung merebut tempat, selamat menjalani sesi uji bakat. Terima kasih Kumpulan Kecik, Alex, Zizan, Johan, Reza dan Sdr. Afdlin Shauki yang banyak memberi tips. Jumpa lagi.....

07 October, 2010

SEBUAH TAMSILAN

selamat tinggal kehidupan
andai tidak lagi berpeluang menyedut udara
dan berlari bebas dibumi ciptaan Azawajalla
selepas ini
namun selamat datang kejayaan
andai itu tamsilan yang diberikan
lewat tidurku malam tadi

dilangit kulihat gambaran peta bumi
persis lukisan oleh pelukis yang santun
tersusun oleh letaknya pohonan, sungai, bangunan, bukit bukau
dan kehijauan belantara
panorama itu dilimpahi suluhan mentari
amat indah yang mustahil digambar oleh apapun ungkap
selain subhannallah

mendongak lagi
kerlipan bintang puluhan malah ratusan warna warni
mengucapkan salam buat kita di bumi
bulan senyum, bebintang bicara sesama sendiri
hingga lenyap segala gundah di kalbu insani


perjalanan 41 tahun di bumi Allah
ini pertama pengalaman harum melihat ciptaan Azawajalla
dikaca mimpi
tak tahu bila lagi keajaiban dalam tidur ini akan muncul
hanya doa mengiringi perjalanan kehidupan ini
dan berkat tamsilan apa yang Engkau perlihatkan
padaku
moga diri ini sentiasalah dilimpahi rahmat dan keampunanMu
hingga ke hari pengakhiranku
amin....

JY, Papar
6 Oktober, 2010 @ 3 pagi

04 October, 2010

Ke Puncak IQRA

Ke Puncak IQRA tanggal 2 Okt. 2010 yang lalu meninggalkan kenangan manis apabila dua hamba Allah yang sebelum ini hanya sepasang sahabat, kini menjejaki semula Puncak IQRA bersama-sama kami sebagai sepasang suami isteri, mereka itu ialah Hasyuda dan Sahara. Kali terakhir menjejakimu Puncak IQRA tahun 2006, anak-anak JY masih kecil terutama Ameera. Kini kehadiran Haiqal dan Eka tambah memberi erti mendalam terhadap JY dan RR. Hingga pendakian kali ini tak lagi mendatangkan kepenatan. Moga semua yang terlibat dalam rombongan seperti Bang Mat, Hasyuda, Sahara, Anirah, Diana, Ony serta isteri dan anak-anak JY berjaya ke puncak kehidupan sebagaimana Puncak IQRA.....Terima kasih Haji Hussein Qassau yang menjemput kami ke RUmah Terbuka Idulfitri kali ini.

30 September, 2010

Menghimbau syawal...

Menghimbau mu, hari ini 21 Syawal 1431 Hijrah.....telah 21 hari melalui kemeriahan lebaran. Keriuhan sanak saudara dan rakan taulan makin sirna. Namun ikatan yang tersimpul biarlah terus kukuh utuh dan berkekalan. Salam lebaran di Idulfitri....JY

28 September, 2010

Festival Betitik Sabah 2010

Tanggal 23 - 25 September lalu berlangsungnya Festival Betitik Sabah 2010, berlokasi di Dataran Putatan Platinum Plaza, Putatan. Bertugas sebagai Juruacara bersama seroang pelakon, penyanyi, pelawak, pengarah drama iaitu Mat Kongo banyak memberi input pengalaman buat JY. Begitu juga melihat dan menimba ilmu EMCEE dari sahabat baik yang seorang juga Dj Radio KKFM, Sdr. Ramli Ahmad. Bekerja di bawah seorang pengarah dan pelakon Ella Sabah banyak memberikan suntikan baru kepada JY tentang bagaimana boleh memberi yang yang terbaik kepada audien untuk acara-acara yang akan datang....

21 September, 2010

Syawal yang makin melangkah...

selepas ramadan, syawal pula kini makin melangkah jauh. 12 hari menjejaki syawal, jiwa seperti diulit pilu. membaca catatan-catatan lalu lewat ramadan dan ucapan raya dari teman-teman, kini ungkapan itu makin perlahan dan perlahan mengalir tumpah ke persisir zulkaedah. terima kasih sanak saudara dan rakan taulan yang hadir beraya ke rumah JY sepanjang 10 hingga 21 Sept. lalu, moga keakraban terus terjalin. mudahan kita dipanjangkan usia hingga ke ramadan dan syawal yang akan datang. jaga kesihatan, dan lipatgandakan amalan. amin....

09 September, 2010

Dedikasi buat Cikgu Dzulkarim Japar yang kuakrabi...

terlalu lama tidak menyantuni suaramu
ketika kau hadir aku masih kehairanan
sapaanmu tetap seperti seorang ayah
sambil bertanya kemana anak-anak yang lain

lama setelah peristiwa kita berlalu
itu kelibatmu tak ubah 23 tahun lalu
bibit sayu dan terharu segera bertunas
pabila kau masih mampu menyebut dan mengingati
masyitah dan jamaludin

iya....sewaktu itu masyitah masih anak mentah
sementara jamaludin tak lebih dari seorang budak penuntut
tapi setelah 23 tahun itu dilalui penuh liku
masyitah dan jamaludin kini telah menjadi manusia
hasil suluh dan asuhmu

sempena ramadan yang kian berlabuh
esok syawal pula menjelma
sepuluh jari kususun amat rapat
memohon kemaafan dari silap masalalu, masakini dan masamuka
darimu, kekandaku cikgu dzulkarim japar
yang kukenali dan kuakrabi...

Jasni Yakub
Kota Kinabalu, Sabah

9 September 2010 / 30 Ramadan 1431

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya