12 December, 2008

Menyebut Datuk Shuhaibun dan Ibunda Dg. Salmah

1. Petang kelmarin JY dihubungi Tokoh Budayawan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Hj. Shuhaibun Yussuf sewaktu JY baru melabuhkan punggung di kerusi, sepulang dari pejabat. Dalam keadaan suaranya yang lemah, Datuk meminta JY singgah ke rumahnya sebelum JY bergerak ke rumah Sdr. Hasyuda di Kg. Lumadan, Beaufort pada hari Ahad (14/12/2008) nanti. Kerana pada tarikh itu, Sdr. Hasyuda dan keluarga mengadakan majlis perkahwinan untuk anak perempuannya. Pada mulanya JY ingatkan Datuk ingin menumpang kenderaan JY untuk ke Lumadan. Tetapi bila diterangkan, rupanya Datuk hanya mengirimkan hadiah sebagai pengganti diri. Datuk memberitahu beliau baru selesai menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Likas ekoran sakit yang dideritainya. "Datuk inda dapatlah datang ke rumah anaknda Hasyuda. Besar hati mahu datang tapi apa boleh buat, Datuk tak berapa sihat..." Demikian luahan ayahanda Datuk Hj. Shuhaibun pada JY. Mengubati perasaannya, JY memberitahu Datuk supaya janganlah dirisaukan atas ketidakhadiran kerana Sdr. Hasyuda memahami, begitu kata JY. Mudah-mudahan Datuk segera sembuh dan sihat seperti sediakala. Amin.

2. Pagi ini sewaktu menyemak senarai panggilan dan pesanan suara di telefon bimbit JY tiba-tiba teringat Ibu Dayang Salmah Salam. Suaranya yang ditinggalkan dalam peti suara HP ini sayup-sayup kedengaran meminta JY menghubunginya semula. Untuk makluman Ibunda Dayang, benda yang ibu minta daripada Hasyuda itu telah JY hantar ke rumah anak ibunda di Taman Sempelang, Sembulan dua hari lepas. Dua benda yang diminta sangat oleh ibunda itu dalah Kad Jemputan Kahwin anak Sdr. Hasyuda dan keratan karya (pantun) Ibunda Dayang Salmah yang telah tersiar di Akhbar Utusan Borneo beberapa minggu lalu. Aduhai Ibunda Dayang Salmah, mata pena dan mata hati mu lebih tajam dari mata lihat...

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya