06 January, 2009

Insiden kasut terbang - sepatutnya juga melencong ke mana?

Kasut itu sepatutnya singgah ke muka pemimpin Arab
Ahmad Tajdid
Thu | Jan 01, 09 | 1:02:48 pm MYT

Stesen TV Al-Jazeera dalam rancangan "Inside" yang disiarkan di Malaysia melalui rangkaian Astro, 31 Disember lalu menampilkan debat dalam talian (online) antara tiga panelis berhubung isu serangan terbaru regim haram Israel ke atas semenanjung Gaza.

Ia menampilkan seorang aktivis media Palestin berbangsa Arab, aktivis hak asasi manusia berpangkalan di London berbangsa Inggeris, dan seorang ahli akademik Israel berbangsa Yahudi.

Ketiga-tiga panelis memberikan hujah mereka secara bersahaja dan meyakinkan, menandakan konflik yang berlaku di Palestin kini memang sudah berada dikotak pemikiran mereka.

Aktivis media Palestin berbangsa Arab itu sudah pasti memberikan pandangan bersandarkan fakta yang menyebelahi rakyat Palestin, yang bagi beliau menjadi mangsa kekejaman Isreal. Israel baginya bukan sahaja bermaharajalela menyerang, menindas dan membunuh rakyat Palestin; malah berjaya meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa negara pengganas itu adalah sebenarnya 'mangsa' kepada tindakan ganas rakyat Palestin khususnya Hamas. Dan tindakan Israel menyerang Palestin dilihat oleh sekutu-sekutu rapatnya - Amerika, Britain dan Eropah - sebagai usaha mempertahankan diri daripada serangan pejuang Hamas!

Aktivis hak asasi manusia berpusat di London - seorang perempuan tua berbangsa Inggeris - secara terang-terangan membela Hamas yang pada hemat dirinya adalah pertubuhan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Beliau bukan sahaja mengecam Israel kerana keganasannya, tetapi juga menempelak kuasa besar dunia khususnya Amerika yang enggan menerima Hamas sebagai penguasa di Gaza; satu pilihan rakyat Palestin yang dibuat melalui proses demokrasi.

Seorang lagi panelis, ahli akademik Israel pula pastinya melihat isu itu melalui sudut pandang negaranya. Beliau membela kempen serangan Isreal terhadap Gaza dan menyalahkan Hamas yang baginya menjadi duri dalam daging kewujudan negara Israel. Hamas bagi beliau adalah kumpulan pengganas yang dikelompokkan bersama Syria, Iran dan Hizbullah. "Paksi kejahatan" ini, tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan mahu negara Yahudi itu dihapuskan daripada peta dunia.

Perbincangan atau lebih tepatnya perdebatan antara tiga panelis itu amat menarik untuk disorot. Bagaimanapun penulis rasa terpana dengan sanggahan hujah ahli akademik Israel itu.

Menurut beliau, jika benar serangan Isreal terhadap Gaza itu bakal menggugat keamanan serantau dan menjadikan rantau Timur Tengah sebagai tidak stabil, mengapa tiada sebarang tindakan atau bantahan dibuat oleh negara-negara Arab di rantau itu terhadap operasi ganas tentera Israel di Gaza? Dan baginya, sikap tidak peduli dan acuh tak acuh negara-negara Arab serantau terhadap konflik terkini yang tercetus di Gaza, menandakan kempen ganas Israel terhadap penduduk Palestin khususnya pejuang Hamas 'direstui' negara-negara tersebut.

Maka penulis pun teringat kisah seorang wartawan Iraq, Muntazer Al-Zaidi yang melemparkan kasut ke arah Presiden Amerika, George Bush dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki di Baghdad, baru-baru ini.

Muntazer ditangkap dan bakal didakwa kerana kesalahan menghina seorang pemimpin negara asing.

Beliau tidak menyesali tindakannya itu malah dianggap sebagai hero oleh masyarakat Arab kerana berjaya memalukan Bush yang banyak melakukan jenayah kemanusiaan di rantau itu. Ada yang mahu menjadikannya menantu kerana tertarik dengan keberaniannya. Tidak kurang juga yang berdemonstrasi membawa kasut di tangan bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Muntazer.

Menyesali kegagalan pemimpin-pemimpin negara Arab menangani isu Palestin apatah lagi membela rakyat Palestin di Gaza yang kini menjadi bahan belasahan Isreal; alangkah baiknya jika kasut-kasut pemuda Arab itu singgah ke hidung-hidung para pemimpin mereka!

Sumber - Harakah Online (6 Januari 2008)

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya