02 January, 2009

JY sertai sesi ujibakat pelakon telemovie

Seminggu sudah berlalu, JY masih teringat kenangan ketika menghadiri sesi ujibakat pelakon telemovie bertempat di Dang Azie Corner, Papar pada 27 Disember 2008 yang lalu. "Wah, mahu jadi pelakon lagi kali ini....!" Begitu kata Rosnah, isteriku yang sentiasa memberi semangat terhadap apa juga kegiatan seni yang JY sertai. JY tidak pula mengharapkan menjadi seorang pelakon, tapi jika terpilih alhamdulillah, rezeki JY. Niat JY menghadiri sesi ujibakat hari itu kerana 2 sebab iaitu, pertama menghargai dan menghormati pelawaan Sdr. Muhamad Haji Salleh @ OM - seorang pelakon, dramatis, pelawak dan juga penyair Sabah, yang meminta JY hadir untuk sesi ujibakat, dan kedua, JY ingin merasai sendiri bagaimana di 'screen test' secara 'live' depan kamera, dan disaksikan oleh beberapa orang panel, sambil beraksi mengikut dialog yang dihafal dan kehendak pengarah. Wah, sungguh mencabar sekali tempoh 10 minit yang JY lalui, kerana sebelum masuk ke 'set', JY kena menghafal skrip mengandungi 6 dialog. "Tak semestinya hafal skrip 100%, tapi yang penting faham jalan cerita", itu satu tips yang banyak membantu JY kali ini yang pernah diungkapkan oleh Cikgu Ramli Jusoh, seorang pentadbir teater sewaktu JY berlakon teater lewat November tahun lalu. Selesai JY menjalani sesi ujibakat, JY mendapat ucapan tahniah dari Sdr. OM (entah apakah maksud ucapan tahniahnya itu). Menurutnya, penggambaran untuk telemovie ini akan dibuat di sekitar Papar dan anaknya, Ella Sabah memilih judul Rumah Hitam untuk telemovie arahannya kali ini. Mudah-mudahan projek ini akan berjalan seperti yang dirancang dan bukan sahaja berjaya mengetengahkan pelakon-pelakon baru, tetapi memperkenalkan daerah Papar sebagai pusat seni dan produk pelancongan baru kepada masyarakat kebanyakan. Insya-Allah.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya