31 December, 2008

Azam JY sempena tahun baru..!

Selamat tahun baru 1430 hijrah dan 2009 masihi. Semoga kedatangan tahun baru ini membawa diri kita lebih terarah dan kekal dalam pedoman Allah SWT. Hijrah bagi JY kali ini ialah memakmur dan menyerlahkan bakat dan kebolehan yang ada untuk dikongsi bersama oleh orang lain. Tak kaya untuk memberikan harta, tak rupawan untuk menarikpikat dan tak tinggi ilmu untuk mengajar orang lain. Tapi sekadar memberikan khidmat yang termampu apabila diminta, dan memberikan khidmat terbaik untuk orang yang meminta khidmat. Insya-Allah.

21 December, 2008

Menjenguk sejenak di blog

Beberapa hari tidak mengemaskini blog ini maklum saja JY bercuti selepas Rosnah bersalin. Membuka emel pagi ini, banyak senarai menunggu untuk dibaca tetapi JY sempat membaca mana-mana yang perlu dan berkaitan saja. Terdahulu JY merakamkan ucapan 'jutaan terima kasih' atas titipan tahniah daripada sahabat-sahabat. Yang dapat JY balas ialah terima kasih, terima kasih, terima kasih..... Buat Sdr. HA, terima kasih kerana menulis tentang kegembiraan kami di Membelah Kabut. JY bercakap dengan Rosnah kelmarin, bahawa HA/Yazidah dan JY/RR masing-masing memiliki kegembiraan yang amat membahagiakan. Setakat ini dahulu, JY sebenarnya datang ke pejabat untuk mengambil beberapa dokumen penting. Jumpa nanti. Salam JY.

16 December, 2008

Cikgu Osman yang kukenali...

Saya mula mengenali Cikgu Osman sekitar tahun 1998. Waktu itu saya baru selesai menjalani latihan rekrut di PULAKAS (sekarang dikenali sebagai PULAPOL), Kepayan. Saya menjejakkan kaki pertama kali di Balai Polis Menggatal tahun itu, tempat bertugas atau stesen yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran SPDRM Daerah Kota Kinabalu untuk saya. Waktu itu bermulalah kehidupan baru saya sebagai seorang anggota SP yang menjalankan tugas-tugas kepolisian. Pertama kali melaporkan diri, Cikgu Osman lah yang memberi tunjukajar tentang penugasan polis kepada saya. Saya masih ingat, lima kewajipan asasi anggota Polis Diraja Malaysia adalah Memelihara Undang-Undang dan Ketenteraman, Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Malaysia, Mencegah dan Mengesan Penjenayah, Menangkap dan Mendakwa Pesalah-Pesalah dan Mengumpul Risikan Keselamatan. Itulah 5 perkara yang perlu didukung apabila seseorang telah memberi kesanggupan mereka untuk bergelar anggota polis. Baiklah, mengenali Cikgu Osman, bukan kerana beliau seorang pendidik seperti guru yang mengajar murid-murid di sekolah. Dipanggil cikgu kerana dialah anggota senior waktu itu, berbanding kami anggota baru seramai 8 orang. Walaupun ada lagi beberapa anggota senior lain, tetapi Cikgu Osman telah dilantik sebagai ketua yang menjalankan tugas penyelia dan pentadbiran, walaupun waktu itu beliau masih berpangkat konstabel. Masa terus berlalu, dipendekkan cerita, hasil kesabaran, didikasi dan komitmen yang berterusan terhadap tugas dalam pasukan, akhirnya sekitar tahun 2004 - 2005, beliau telah dinaikkan ke pangkat Koperal. Sikapnya yang sangat terpuji itu akhirnya memberi pulangan lumayan apabila sekali lagi dinaikkan ke pangkat Sarjan pada awal 2008 yang lalu. Apabila saya menulis dalam blog ini bertajuk MENYAYANGI KENANGAN, Sarjan Osman menghantar emel kepada saya dan mengatakan beliau amat memahami apa yang saya tulis itu. Ini kerana Sarjan Osman (waktu itu Konstabel Osman) merupakan orang yang paling dekat dengan saya (dalam konteks peribadi), yang juga boleh berbicara mengenai hal-hal peribadi. Sekarang ini Sarjan Osman sudah berjaya mengejar cita-citanya dalam pasukan SPDRM sepertimana yang diidam-idamkannya sewaktu kami bersama-sama meredah malam, mengharungi hujan dan panas dan tak kurang juga disaat-saat indah sewaktu kami duduk minum dan bercerita di pekan Menggatal setiap kali selesai bertugas dulu. Walaupun suasana itu tidak dapat lagi kami rasai kini lantaran kesibukan tugas masing-masing, tetapi mengenali Sarjan Osman banyak memberi saya keinsafan dalam mengharungi kehidupan di alam nyata ini. Semoga Sarjan Osman akan sukses dalam tugas dan kehidupannya yang mendatang... Itulah, Cikgu Osman yang kukenali. (Foto kenangan bersama Cikgu Osman akan dipaparkan pada masa akan datang).

Berfikir sejenak...

Ini ungkapan umum dan seringkali diperkatakan oleh sesiapa pun. Yang mengajak kita supaya belajar berfikir tak kira sesiapapun. Misalnya, sewaktu dalam kenderaan bersama keluarga menuju ke pekan Papar baru-baru ini, semua pengguna terpaksa menggunakan jalan lama Kampung Sapat, Papar kerana jalan baru sedang diperbaiki. Tahu sajalah jika jalan kampung, memang sesak dan menyesakkan. Deretan kenderaan begitu panjang bermula simpang jalan utama hingga ke jalan sepanjang tebing sungai Kampung Sapat, Papar. Ketika hampir tiada seorangpun pemandu yang memberi peluang laluan kepada pemandu lain, dari jauh JY melihat seekor anjing berdiri ditepi jalanraya, sekejap menoleh ke kiri dan kanan (mungkin dengan penuh sabar), seolah-olah meminta simpati dari manusia, barangkali hanya untuk meminta laluan ke seberang jalan. Satu ketika, semasa sebuah kenderaan menghampiri dan melintasi anjing itu, pemandunya membunyikan hon menyebabkan anjing itu terperanjat dan terus meloncat lari ke dalam semak. Bayangkan jika anjing tiba-tiba menggonggong kita, tentunya kita juga terperanjat dan memaki hamun. Tetapi kerana ia adalah anjing, ia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melarikan diri sahaja. Bayangkan juga, jika anjing itu melarikan diri ke jalanraya dan disambar pula oleh kenderaan yang datang dari hadapan. Aduhai, betapa... jikalau anjing itu mati/menemui ajalnya, sudah tentu ia mati dalam 'kesabaran'nya dan juga mati kerana kezaliman manusia. Yang dapat JY pelajari, bagaimana nilai kesabaran dan sikap prihatin manusia berbanding binatang? Mungkin manusia lebih dahsyat dan teruk lagi..! Berfikir walau sesaat juga mendapat pahala dari Allah SWT. Wallahhu'alam.

15 December, 2008

Oh Fatimah, Hasyuda, Arun dan OM

1. "Oh Fatimah, gadis ayu, indah sungguh, parasmu, mas ayu....." Siapa tidak ingat dengan lirik lagu 60'an ini yang begitu sinonim di kalangan kita tidak kira usia. Sebenarnya lagu 'Oh Fatimah' ini menjadi pilihan Sdr. Hasyuda apabila diminta menyanyikan lagu sempena perkahwinan anak perempuannya, Syazierah di kediaman mereka di Kampung Lumadan Laut, Beaufort malam tadi. Siapa bilang Ketua Satu IPS tak boleh menyanyi? Kerana pada siangnya beliau juga telah menyumbangkan sebuah lagi lagu balada khusus untuk para hadirin yang memenuhi undangan. Tetapi sebenarnya secara peribadi, ini merupakan kali pertama JY menyaksikan Sdr. Hasyuda menyanyi kerana sebelum ini JY hanya melihat beliau membaca sajak. Orang seni sering melakukan sesuatu diluar jangkaan. Teringat kata-kata Wak Khalid Salleh, katanya "seni itu melangkaui pemikiran manusia".

2. Bagaikan telah diatur, dua artis terkenal Sabah hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan sulung Hasyuda Abadi di Kampung Lumadan Laut, Beaufort kelmarin (14/12/2008). Yang dimaksudkan ialah Mat Konggo @ OM dan Sdr. Arun, penyanyi lagu-lagu bajau, berasal dari Kudat. Dinamakan artis, OM dan Arun begitu menarik dimata hadirin kerana latar belakang seni mereka masing-masing. Arun menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa bajau (tak ingat judulnya), yang menariknya lagu tersebut adalah hasil ciptaannya lengkap dengan CD sendiri. Sementara OM menyanyikan 2 buah lagu dangdut dan menyelitkan sedikit skesta di akhir persembahannya. Katanya, "Lelaki yang berkahwin ini ada tiga bahagian. Pertama, lelaki yang bujang. Kedua, lelaki yang mendapat kebenaran isteri dan ketiga, lelaki yang gatal..." Sama-samalah kita fikirkan.

3. JY merakamkan ucapan tahniah kepada Sdr. Hasyuda dan Pn. Yazidah, atas perkahwinan anak perempuan sulung mereka Syazierah dan suami, Azrul. Semoga pasangan mempelai ini diberkati Allah SWT dan bahagia hingga ke akhir hayat. Terima kasih kepada Sdr. Hasyuda dan semua keluarganya yang memberi kepercayaan kepada JY dan Syafiq mengemudi majlis sehingga selesai tepat jam 11 malam tadi.

12 December, 2008

Bersama Khalid Salleh (Wednesday, November 26, 2008)


JY bergambar kenangan disisi Wak Khalid Salleh (pelakon dan dramatis terkenal Malaysia) semasa mengadakan Bengkel Penulisan Kreatif untuk guru-guru daerah Tuaran. Kegiatan ini diadakan pada 20 - 22 Oktober 2008, bertempat di Hotel Ruby Inn, Kota Kinabalu. Wak Khalid merupakan salah seorang penceramah (slot teater) pada bengkel tersebut. Antara ungkapan Wak Khalid sewaktu membentangkan ceramah bertajuk Peranan Teater Dalam Pendidikan, katanya "Seni itu terlalu luas dan melangkaui ruang lingkup pemikiran manusia".

Menyebut Datuk Shuhaibun dan Ibunda Dg. Salmah

1. Petang kelmarin JY dihubungi Tokoh Budayawan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Hj. Shuhaibun Yussuf sewaktu JY baru melabuhkan punggung di kerusi, sepulang dari pejabat. Dalam keadaan suaranya yang lemah, Datuk meminta JY singgah ke rumahnya sebelum JY bergerak ke rumah Sdr. Hasyuda di Kg. Lumadan, Beaufort pada hari Ahad (14/12/2008) nanti. Kerana pada tarikh itu, Sdr. Hasyuda dan keluarga mengadakan majlis perkahwinan untuk anak perempuannya. Pada mulanya JY ingatkan Datuk ingin menumpang kenderaan JY untuk ke Lumadan. Tetapi bila diterangkan, rupanya Datuk hanya mengirimkan hadiah sebagai pengganti diri. Datuk memberitahu beliau baru selesai menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Likas ekoran sakit yang dideritainya. "Datuk inda dapatlah datang ke rumah anaknda Hasyuda. Besar hati mahu datang tapi apa boleh buat, Datuk tak berapa sihat..." Demikian luahan ayahanda Datuk Hj. Shuhaibun pada JY. Mengubati perasaannya, JY memberitahu Datuk supaya janganlah dirisaukan atas ketidakhadiran kerana Sdr. Hasyuda memahami, begitu kata JY. Mudah-mudahan Datuk segera sembuh dan sihat seperti sediakala. Amin.

2. Pagi ini sewaktu menyemak senarai panggilan dan pesanan suara di telefon bimbit JY tiba-tiba teringat Ibu Dayang Salmah Salam. Suaranya yang ditinggalkan dalam peti suara HP ini sayup-sayup kedengaran meminta JY menghubunginya semula. Untuk makluman Ibunda Dayang, benda yang ibu minta daripada Hasyuda itu telah JY hantar ke rumah anak ibunda di Taman Sempelang, Sembulan dua hari lepas. Dua benda yang diminta sangat oleh ibunda itu dalah Kad Jemputan Kahwin anak Sdr. Hasyuda dan keratan karya (pantun) Ibunda Dayang Salmah yang telah tersiar di Akhbar Utusan Borneo beberapa minggu lalu. Aduhai Ibunda Dayang Salmah, mata pena dan mata hati mu lebih tajam dari mata lihat...

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya