02 June, 2009

PPSB dan Hasyuda

Sewaktu menulis catatan dalam KABANKARYAJY ini, JY sedari dah 20 hari tak mengemaskini blog ini. Sekadar sebuah catatan peribadi, beberapa tarikh penting bermula 27-29 Mei lalu dimana JY dan 6 orang kru PPSB telah melaksanakan program Sastera dan Budaya di Kem PLKN Tanaki Tambunan Sabah, memberikan ilmu berkaitan sastera dan budaya kepada anak bangsa. Meskipun ketiadaan Sdr. Hasyuda amat dirasai sebagai pelengkap kepada kelancaran PPSB di kem tersebut, begitu juga ketiadaan Karim Gullam, Mariam Omar, Jaslin Idtong, Harmidi serta Hamidun begitu mengganggu fikiran JY, tetapi semangat kami tetap membara mendidik para pelatih seramai 358 orang kesemuanya. Sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Ketua Fasilitator P2/2009, JY membahagikan kumpulan PPSB kepada 4 kumpulan termasuk kumpulan Urusetia yang dibimbing sendiri oleh JY. Kumpulan pertama dibimbing oleh Cikgu OM, kumpulan kedua Cikgu Ali Amat, Kumpulan ketiga Cikgu Haji Manchu dan Maznah SUlaiman dan Kumpulan keempat Cikgu Nurul dan Azroy. Kesemua mereka seperti dijangka telah berjaya mendidik dan memantapkan kumpulan masing-masing dan menampilkan persembahan yang menepati konsep PPSB sewaktu pementasan penutupan MCP 29 Mei yang lalu. Keresahan JY terubat apabila Komandan baru Kem Tanaki Tambunan, Leftenan Kolonial Mohd. Tarmizi Bin Yom TUDM amat menyokong program PPSB ini. Yang menurutnya walaupun beliau kali pertama terlibat dengan PPSB di Kem PLKN, tetapi kegiatan seperti ini tidak asing bagi beliau semasa di TUDM sebelum ini. Beliau bukan sahaja bijak mengupas hal-hal sastera, tetapi juga mengenali beberapa penyair Malaysia antaranya yang disebut ialah Allahyarham Zubir Ali. Sewaktu JY memberikannya sebuah pantun sebagai jawapan daripada Juruacara sewaktu MCP, beliau telah bersedia dengan pantunnya sendiri, tetapi memilih untuk membacakan pantun yang disediakan oleh KF. Keikhlasan beliau menyokong PPSB juga terbukti apabila beliau bersedia menyumbangkan hadiah kepada para pelatih jika program PPSB ini diadakan lagi pada masa akan datang. Begitu juga dengan kerjasama yang diberikan oleh TKP yang baru, Kapten Roswady Abd. Wahid, menjadikan program PPSB berjalan dengan amat lancar tanpa masalah. Maka PPSB pun berlangsung di Kem PLKN Tanaki Tambunan bermula petang 27 Mei hinggalah kepada penutupannya yang dikenali sebagai Malam Citra Puisi. Antara acara berlangsung ialah dimulai dengan tarian sambut tamu dihidangkan kepada Komandan, kemudian persembahan 4 kumpulan bertanding, persembahan sayembara deklamasi puisi individu, ulasan persembahan, ucapan penutupan komandan kem dan penyampaian hadiah cenderamata. Yang menjadi ingatan kepada kami selaku fasilitator PPSB untuk P2/2009 kali ini, ialah kerjasama baik yang diberikan oleh pihak Kem Tanaki, dan kesantunan para pelatih yang tidak banyak menumbulkan masalah kepada tenaga pengajar PPSB. Moga anak bangsa seramai 358 orang ini akan dapat mengambil sebanyak ilmu mengenai PPSB walaupun tempoh kami melaksanakan PPSB tak lama, hanya sekitar 2 hari setengah sahaja. Banyak pelatih mengatakan masa 3 hari tak mencukupi, ada juga yang mengatakan banyak mendapat input-input baru mengenai seni persembahan, menyanyi, berpuisi dan sebagainya. Ini bermakna suntikan PPSB yang kami bawa mula meresap ke jiwa anak-anak pelatih yang dahagakan masukan ilmu positif yang pelbagai. Moga kami dapat bertemu lagi pada waktu-waktu akan datang. Kepada rakan-rakan seperjuangan khususnya fasilitator PPSB di Kem Tanaki Tambunan, JY menghargai dan menyanjungi jasa-jasa anda sekalian, yang tidak pernah mengeluh dan pudar semangat menjulang perjuangan mendidik anak bangsa di Kem Tanaki Tambunan. Kemudian, tarikh penting kedua ialah paga tadi (2 Jun 2009), JY menyambut kepulangan saudara dan kekanda Hasyuda Abadi, yang baru tiba dari menunaikan umrah di tanah suci mekah setelah berada di sana lebih 10 hari yang lalu. Walaupun beliau tak dapat bersama ke Kem Tanaki kali ini kerana beruzlah di tanah haram, beliau sempat mendoakan kebaikan pada kawan-kawan, saudara mara dan sahabat handai di hadapan ka'abah. Termasuklah (alhamdulillah...) doa-doa yang JY kirimkan dan juga doa-doa kawan-kawan sempat disampaikan oleh Sdr. HA. Mudahan suatu hari nanti JY dan keluarga akan sampai di Tanah Suci dengan lambaian rahmat Allah SWT. Salam dari JY.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya