30 September, 2010

Menghimbau syawal...

Menghimbau mu, hari ini 21 Syawal 1431 Hijrah.....telah 21 hari melalui kemeriahan lebaran. Keriuhan sanak saudara dan rakan taulan makin sirna. Namun ikatan yang tersimpul biarlah terus kukuh utuh dan berkekalan. Salam lebaran di Idulfitri....JY

28 September, 2010

Festival Betitik Sabah 2010

Tanggal 23 - 25 September lalu berlangsungnya Festival Betitik Sabah 2010, berlokasi di Dataran Putatan Platinum Plaza, Putatan. Bertugas sebagai Juruacara bersama seroang pelakon, penyanyi, pelawak, pengarah drama iaitu Mat Kongo banyak memberi input pengalaman buat JY. Begitu juga melihat dan menimba ilmu EMCEE dari sahabat baik yang seorang juga Dj Radio KKFM, Sdr. Ramli Ahmad. Bekerja di bawah seorang pengarah dan pelakon Ella Sabah banyak memberikan suntikan baru kepada JY tentang bagaimana boleh memberi yang yang terbaik kepada audien untuk acara-acara yang akan datang....

21 September, 2010

Syawal yang makin melangkah...

selepas ramadan, syawal pula kini makin melangkah jauh. 12 hari menjejaki syawal, jiwa seperti diulit pilu. membaca catatan-catatan lalu lewat ramadan dan ucapan raya dari teman-teman, kini ungkapan itu makin perlahan dan perlahan mengalir tumpah ke persisir zulkaedah. terima kasih sanak saudara dan rakan taulan yang hadir beraya ke rumah JY sepanjang 10 hingga 21 Sept. lalu, moga keakraban terus terjalin. mudahan kita dipanjangkan usia hingga ke ramadan dan syawal yang akan datang. jaga kesihatan, dan lipatgandakan amalan. amin....

09 September, 2010

Dedikasi buat Cikgu Dzulkarim Japar yang kuakrabi...

terlalu lama tidak menyantuni suaramu
ketika kau hadir aku masih kehairanan
sapaanmu tetap seperti seorang ayah
sambil bertanya kemana anak-anak yang lain

lama setelah peristiwa kita berlalu
itu kelibatmu tak ubah 23 tahun lalu
bibit sayu dan terharu segera bertunas
pabila kau masih mampu menyebut dan mengingati
masyitah dan jamaludin

iya....sewaktu itu masyitah masih anak mentah
sementara jamaludin tak lebih dari seorang budak penuntut
tapi setelah 23 tahun itu dilalui penuh liku
masyitah dan jamaludin kini telah menjadi manusia
hasil suluh dan asuhmu

sempena ramadan yang kian berlabuh
esok syawal pula menjelma
sepuluh jari kususun amat rapat
memohon kemaafan dari silap masalalu, masakini dan masamuka
darimu, kekandaku cikgu dzulkarim japar
yang kukenali dan kuakrabi...

Jasni Yakub
Kota Kinabalu, Sabah

9 September 2010 / 30 Ramadan 1431

Tentang 'mekanik' palsu, berhati-hatilah...

Saya selalu menganggap mekanik sama seperti seorang doktor. Bezanya doktor merawat dan mengubati orang sakit, dan mekanik merawat dan membaiki kenderaan. Namun kedua-dua profesion ini harus memiliki kepakaran sebelum diberi gelaran demikian. Saya mengatakan hal ini kerana kita kadang-kadang terlepas pandang dan akibatnya mendatangkan masalah kepada kita sendiri. Orang yang sakit, bila berjumpa dengan 'dresser' atau pembantu perubatan, ubat yang diberikan biasanya berbeza dengan ubat yang diberikan oleh doktor. Begitu juga, kereta yang rosak, apabila diselenggara atau dibaiki oleh seorang 'tukang servis' biasanya hasil kerja berbeza dengan seorang mekanik. Pengalaman saya sewaktu nat 'spug plug' kereta patah dan tertinggal dalam enjen, si tukang servis yang berlagak macam mekanik itu hanya mengambil jalan mudah dengan mengikat kabel 'spug plug' supaya tidak tertanggal bagi membolehkan kereta dapat dipakai sementara. Akibatnya kereta berbunyi meletup-letup dan agak menakutkan. Bayangkan apa terjadi jika kabel yang masih terlekat 'spug plug' itu terlepas dari ikatan dan memercikkan api dan terjumpa pula dengan lelehan petrol atau apa-apa cecair yang mudah terbakar? Bukankah terbakar jawabnya? Tidak berpuas hati dengan tindakan 'mekanik' palsu itu, saya memanggil seorang rakan yang memang seorang mekanik untuk membantu. Dia hanya mencabut kabel 'spug plug' itu untuk langkah keselamatan dan berjaya membawa kereta saya ke bengkel untuk dibaiki. Itulah 'kepaluian' tukang servis yang tidak boleh diterima dan jika berlaku hal tidak diduga saya pasti akan mengambil tindakan saman terhadapnya termasuk taukehnya sekali. Jadi untuk kawan-kawan diluar sana, berhati-hatilah dengan 'mekanik' palsu tidak bertauliah yang dilindungi oleh taukeh-taukeh ini. Sekadar ingatan. Salam.....JY

08 September, 2010

Kereta, hujan dan pemandu teksi...

kereta, hujan dan pemandu teksi
saling berlegar di persekitaranku kelmarin
kereta yang rosak
hujan yang membasahi tubuh
dan pemandu teksi yang menyejukkan hati
telah membawaku pulang
dengan selamat....

JY
Papar-KK-Papar

7 Sept. 2010

06 September, 2010

Nukilan buat saudaraku Zaini Nanyan...

Kebanyakan teman-teman di pejabat JY (terutama yang tinggal jauh di semenanjung dan Sarawak) sudah mula bercuti dan balik ke kampung halaman masing-masing esok untuk menyambut syawal bersama keluarga tercinta. Terima kasih untuk seorang sahabat @ saudara bernama Zaini Nanyan (Pakar Motivasi bebas) yang menghubungi JY pagi tadi dari pejabatnya di KKIP. Sempat juga beliau mengucapkan selamat berpuasa dan selamat hari raya kepada JY lebih awal. Moga saudaraku ini berserta keluarganya selamat sampai ke kampung halaman mereka di Kedah. Mereka akan meninggalkan bumi Sabah pada lusa. Lewat perbualan kami, sempat kami bercakap mengenai jiran yang baik. Menerbitkan jiran yang baik sebenarnya bermula dari kita, jika kita baik maka jiran kita juga baik terhadap kita. Walaupun jiran kita tidak seagama atau sebangsa dengan kita, waktu seperti inilah (pulang kampung semasa Hari Raya dan sebagainya) peranan jiran jadi begitu penting. JY akan tunggu Sdr. Zaini menulis tentang jiran, jadi JY tak ingin bercakap lanjut mengenai hal jiran ini. Kepada Sdr. Zaini, moga gembira di idulfitri yang bakal menjelang beberapa hari saja lagi. Salam ukhuwah...

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya