31 March, 2009

SMS dari adinda Irwan

Subuh tadi, saya menerima SMS dari adinda Irwan (anak alharhum Datuk Shuhaibun Yussuf). Beliau menjemput JY dan semua rakan-rakan lain menghadiri majlis tahlil dan kenduri arwah untuk almarhum ayahndanya. Benar, waktu sentiasa mengekori kita ketika kita sendiri sering lupa tentangnya. Genap seminggu jasad almarhum disemadikan di tanah pemakaman Kampung Kuala, Papar. Namun kerinduan kami tetap segar dan harum terhadap almarhum. Kelmarin adalah kenangan yang hidup hari ini, demikian kata Sdr. Hasyuda lewat puisinya. Mudahan JY dan rakan-rakan dapat menghadirkan diri ke majlis tahlil dan kenduri arwah di Dangau Budaya bermula petang dan malam ini. Salam.

JY, KK

26 March, 2009

Mengingati almarhum ayahnda Datuk Haji Shuhaibun Yussuf

Mengenang Almarhum Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, banyak peristiwa yang terpercik diruang mata, diruang telinga dan diruang ingatan kami sepanjang mengakrabi beliau lebih sepuluh tahun lalu. Sebagai - umpama seorang anak dan dengan ayahnya, diri alhamrhumlah tempat kami bermanja, mendapatkan nasihat dan pandangan, beliau 'mendodoikan kami ketika menangis' sambil menyanyikan lagu-lagu rohani yang meniup semangat kami meneruskan perjuangan melestarikan sastera. Almarhum pernah satu ketika dulu, meminta IPS meneruskan perjuangan walaupun hanya bergerak bersendirian, walaupun tanpa dana yang mencukupi. Kata almarhum, "senjata penyair cukup dengan sebatang pen dan sehelai kertas".

Semalam ketika sampai dihalaman rumah keluarga almarhum bagi menghadiri majlis tahlil dan doa, kami tiga sahabat iaitu JY, Bang Mat dan Bang Hasyuda berhenti dan berdiri di luar rumah untuk bersama-sama mengaminkan doa untuk almarhum. JY segera terbayang raut wajah dan senyuman alhamrhum yang biasanya menjemput kami masuk setiap kali kehadiran kami ke Dangau Budaya sebelum ini. Kini suara, senyuman dan wajah itu tiada lagi untuk kami lihat dan dengar. Kerana kali ini kami menziarahi dan mengaminkan doa untuk seorang hamba Allah yang telah pergi meninggalkan kami, iaitu Almarhum Datuk Haji Shuhaibun Yussuf yang dikasihi.

Seusai mengerjakan fardhu isyak berjemaah, JY tidak terus meninggalkan sejadah. JY merenung sekitar rumah almarhum, maka ternampaklah segala tanda mata peninggalan beliau; sejumlah sijil pengiktirafan, penghargaan dan sanjungan buat almarhum, sejumlah duit syiling dan wang kertas lama yang tersusun rapi dalam bingkai, sejumlah gantungan lukisan tangan almarhum, artifak sejarah yang berharga dan banyak lagi yang terlihat oleh JY, mengungkit semula kenangan sepanjang bersama almarhum.

Batu Beranak - satu babak lucu yang masih segar dalam ingatan JY, pernah diceritakan oleh almarhum kepada kami ketika kunjungan ziarah IPS ke Dangau Budaya suatu ketika dulu. Kerana batu itulah yang menaikkan nama beliau sebagai 'tukang ubat' apabila berjaya membantu sepasang suami isteri di Tawau mendapatkan anak. Lucunya, apabila pasangan itu mendapat anak yang lebih pula, pasangan itu terpaksa berjumpa semula dengan almarhum untuk mendapatkan pula ubat 'penjarang' beranak. Sehingga kini 'Batu Beranak' itu masih disimpan oleh almarhum sehinggalah saat pemergiannya. Sehingga ke akhir hayat almarhum ayahnda, tiada apapun pemberian paling bernilai dapat kami bingkiskan untuk ayahnda selain doa....semoga ayahnda tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang solleh dan memperolehi rahmat di sisi Allah. Amin...

JY, Papar

26 Mac 2009

18 March, 2009

Tentang SAHABAT (fungsinya sama seperti organ dalam tubuh manusia)

Peranan sahabat sama seperti peranan semua organ dalam tubuh manusia. Apabila kehilangan salah satunya, atau apabila salah satunya sakit, maka yang lain turut merasai kehilangannya, atau merasai kesakitannya. Sebab itu, ketika kita menyatakan suka dan meminati, atau merindui seseorang, ungkapan kau adalah nyawa, dirimu adalah jantungku, kau cahayamataku, salam ingatan dan bermacam lagi sering diungkapkan. Begitu berharganya sebuah persahabatan. Sama-samalah kita fikirkan...

17 March, 2009

Tentang SAHABAT (begitu bernilainya ia dalam diri kita)

Ketika sahabat kita menangis, berikanlah ia sapu tangan. Dan ketika dia ketawa, berikanlah ia bunga. Persahabatan itu boleh disuburkan lagi jika kedua pihak saling memahami dan membantu. Masuklah ke dalam lubuk rasa sahabat kita ketika ia sedang menangis, disitu kita bisa mencari makna persahabatan yang tulen. Salam kasih sayang dari JY.

11 March, 2009

Mengingati Kak Yazidah yang periang...

"kakak sedang menjalani pembedahan di SMC, sama2 kita berdoa agar ia selamat, dan mengurangkan penderitaannya..." Ini berita terbaru yang diterima dari Sdr. Hasyuda petang tadi lewat smsnya kepada JY. Memang benar, JY antara yang paling awal menziarahi Kakak Yazidah (isteri Sdr. Hasyuda), ketika dimasukkan ke wad Hospital Ratu Elizabeth, KK pada 25 Februari 2009 yang lalu. Suatu ketika JY pernah berbual dengan Bang Mat (Mohamed Haji Salleh @ OM) sebelum ini, Bang Mat meletakkan Sdr. Hasyuda ditakhta paling tinggi kerana kesabaran dan ketabahannya mengharungi dan menghadapi cabaran kehidupan rumah tangganya. Bukan seminggu, sebulan atau setahun, malah sejak hampir sepuluh tahun lamanya Sdr. Hasyuda menjaga dan memelihara isterinya yang terlantar sakit, dengan tahap kesabaran yang tinggi. JY pernah berkata pada Sdr. Nadin @ ANS, bahawa kita patut bersyukur kerana masih memiliki (isteri) walaupun duduk berjauhan, berbanding Sdr. HA, yang juga memiliki (isteri) didepan mata, tetapi hanya dapat memandang dengan penuh sayu dan belas kasihan. Aduhai.....JY menjadi insaf dengan situasi ini. Apapun, moga Sdr/Kekanda/Sahabatku Hasyuda ini diberikan kekuatan oleh Allah dalam menghadapi semua ujian ini. Apabila Allah sayangkan hamba-Nya, nescaya akan diujinya dengan ujian paling berat.... Dan dari jauh, JY doakan agar Kakak Yazidah juga diberikan kekuatan semangat untuk pulih sepenuhnya dan kembali riang seperti dulu. Salam dari JY.

02 March, 2009

Catatan JY minggu lepas...

1. Melaksanakan tugas sebagai fasilitator PPSB di Kem PLKN Tanaki Tambunan, pada 22-24 Februari lalu adalah satu tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen. Bukan melaksanakannya sekadar 'ala kadar' atau sekadar 'melengkapkan modul' sahaja. Seperti kata Sdr. Hasyuda, sekadar 'habiskan tugas dan menunggu pula bayaran elaun beberapa bulan kemudiannya'. Moga semua kalangan fasilitator PPSB dapat menempatkan tanggungjawab ditempat teratas, disamping imbuhan yang pastinya kita akan perolehi juga kemudiannya. Terima kasih kepada semua fasilitator PPSB Kem Tanaki Tambunan iaitu Bang Mat, Kekanda Hasyuda, Bang Ali Amat Anas, Hj. Manchu, Harmidi, Azroy, Maznah, Jaslin dan Karim Gullam yang membantu melicinkan pelaksanaan PPSB di Kem Tanaki. Jasa kalian hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.

2. Memasuki pejabat untuk bertugas semula pada 27 Februari 2009, JY dihidangkan dengan tugas-tugas pejabat yang tertangguh beberapa hari. Tapi dapat diselesaikan pada petang hari yang sama. Alhamdulillah.

3. Kelmarin, 1 Mac 2009, JY dan RR menghantar Hamim ke asrama SMK Benoni, Papar. Maka bermulalah satu kehidupan baru untuk anak kami, Hamim. Sewaktu memasuki bilik asrama dimana Hamim ditempatkan, JY teringat kenangan ketika JY menetap di asrama SMK Bongawan, Membakut ketika masih menuntut dulu antara tahun 1985 - 1987. Tanpa dipaksa-paksa, perasaan lelaki ini tiba-tiba bertukar hiba saat meninggalkan Hamim. Sementara Hamim, tidak pula menunjukkan apa-apa reaksi. Semasa kenderaan kami meninggalkan bangunan asrama, isteriku Rosnah pula menangis. Alasan kami hampir sama, kerana Hamim tidak pernah berjauhan dengan kami sebelum ini. Moga Hamim menjadi manusia berguna dan belajar berdikari selama menetap di asrama.

Salam.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya