29 June, 2016

tentang percaya...

kupercaya
dihadapan ada hari hari yang berlampu
dan lorong lorong yang bertali
untuk perjalanan kehidupan kita
ke arah lebih lurus

27 June, 2016

tentang sendiri...

lapan hari sebelum raya
akulah yang masih termangu tanpa sesiapa
semakin hari
aku menuju ke alam sendiri
seperti kalkatu yang mencari cahaya
untuk mati

18 June, 2016

tentang aku, jy...

esok 19 jun 2016, aku akan ke Miri
ini perjalanan darat ke dua selepas yang pertama nov 2015 yang lalu
sekaligus ini perjalanan ke luar negara kali ketiga
setelah Nov 2015 - negara brunei DS
April 2016 - negara indonesia (jakarta)
dan esok, 19 Jun 2016 - melintasi negara brunei DS lagi untuk ke Miri
insyallah 17 - 24 Nov 2016 - ke Indonesia sekali lagi
untuk program PSBNS di Jogja
mudahan tahun hadapan - dapat ke Singapura dan Laos
tapi tarikhnya belum pasti lagi
jika ada kesempatan dan kewangan
segalanya mungkin
insyallah

aku mahu mengembara dan mengembara lagi
mencari diri di relung peribadi...!


coretan abadi untuk bapa...

LELAKI SEJARAH II

lelaki itu, bersama rotan, pernah mengajar kami tulis baca
lelaki itu, bersama selimut, pernah menutup tubuhku ketika dingin
lelaki itu, bersama keringat, mencari rezeki untuk kami
lelaki itu, bersama semangat, terlupa penat kerana kami
lelaki itu, memberi kami kehidupan, sambil melupakan kehidupannya
lelaki itu, lelaki sejarah yang kini tetap akrab untuk kami
SELAMAT HARI BAPA untukmu
ayahnda Mohamad Yakub Abdullah

JY, Papar
16/6/2013

17 June, 2016

hari ke 12 ramadan...

"selepas 12 hari mengharungi ramadan...kita hampir ke titik pertengahan. dimana keampunan dan syafaat hampir dalam dakapan...insya-Allah"

13 June, 2016

Tentang Ramadan II

Di kejauhan
wangi ramadan menyatukan kita
makin erat ukhuwah
dalam tamsil hauslapar
ini bulan keampunan
tersaji timbunan kebaikan
untuk yang mengerti
Allahhu rabbi
lafaz syukur kami
terhadap-Mu


jy
11 jun 2016

10 June, 2016

tentang esok...

"harapan ku menggunung untuk menemuimu esok, moga terkabul harapan ini..."

07 June, 2016

munajat...

ini munajat dari sekalian niat dan hajat yang tersirat
ya allah, permudahkan urusanku mendepani kehidupan ini
kuatkan ikatan kami ditaman perkasihan ini
satukan kami sebagai keluarga mithali
jadikan ukhuwan kami antara yang ranum
di kebun insani
amin ya rabbb...

7/6/2016

06 June, 2016

salam ramadan buatmu isteriku!

ini hari pertama berpuasa
tidak lagi menikmati air tanganmu isteriku
seperti waktu waktu sebelumnya
tidak lagi ada keriuhan irama pinggan, cawan dan sudu di dapur
tidak lagi kedengaran suara mengejutkan eka, haikal, ameera, hamim dan ummi
tidak lagi bergema seloroh dan gelaktawa ketika duduk bersila menikmati sahur

tiba tiba semuanya menjadi ingatanku waktu ini
Tuhan, kenapa semua itu diragut dari ruang hayat ini?

ketika menyuap roti ke mulut
entah bila waktunya air mata ini mula berderai di pipi

aku seorang lelaki harus kuat dan tabah
ya, aku harus kuat mendepani ini semua
hingga sampai saatnya diizinkan Tuhan

salam ramadan buatmu isteriku!

jy, papar
6/6/2016 @ 4 pagi

02 June, 2016

Lima hari sebelum ramadan...

lima hari sebelum ramadan, apakah yang hilang dari kehidupan ini selain mahabbah yang hakis dan rebah di kaki hari, ukhuwah yang lama disantuni kini berselerak di lantai bahagia, makin sukar dikutip serpihan ukhuwah ini kecuali langit kembali bersih dan malam tersenyum tanpa kelam, lalu aku bertanya tentang lima hari sebelum ramadan, apakah yang harus diimarahkan lagi selepas segalanya hilang makna?

jy
desa sunyi pengalat besar
papar

2 juni 2016

01 June, 2016

Tentang T.I.T.I.K

pada titik yang memberi makna berhenti
maka berhentilah saat kau tidak lagi diperlukan
sekalipun kau gagahi langkahmu
kau tetap tidak diberikan apa apa waima koma
kerana titik bila telah dititik
ia tidak akan berbicara lagi

T.I.T.I.K bagiku
bila aku berhenti bersuara
maka aku tidak wujud lagi diduniamu...

jy
desa sunyi taman pengalat
papar

31/5/2016

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya