31 July, 2017

Beberapa catatan JY sepanjang Julai 2017...


Para penulis Sabah berfoto bersama YB Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (duduk, tengah) semasa sambutan Aidilfitri Bersama Penulis pada 10/7/2017, di Dewan Madani, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah

JY dan rakan-rakan BAHASA berfoto kenangan bersama YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sempena Majlis Sambutan Raya KEPKAS, pada 17/7/2017, di Kompleks JKKN Sabah, Jalan Lido Penampang. Turut bersama ialah Tuan Raizuli Mat Jusoh, Pengarah JKKN Sabah; Tuan Datu Rosmadi Datu Sulai, Pengurus Besar, Lembaga Kebudayaan Sabah, dan Puan Mariam Omar, S/Usaha Tetap Kementerian

Keratan akhbar mengenai program Raya anjuran Baitul Muqaddam dan RupHA pada 16/7/2017, di Kampung Gudon, Manggatal, Sabah. Lebih 300 tetamu hadir terdiri penulis dan penggiat seni sastera Sabah, para pendidik, penduduk setempat, para ibu bapa dan para pelajar Baitul Muqaddam memeriahkan majlis ini. Beberapa acara diselitkan antaranya ucapan tuan rumah, acara baca puisi, dendangan pantun dan syair, dan pengagihan duit raya kepada para pelajar Baitul Muqaddam. Terima kasih Tuan Haji Sukor Haji Usin @ Hasyuda Abadi (penulis dan penggiat sastera Sabah) dan isteri, Puan Hajah Sahara Jais, selaku Tuan Rumah yang mengundang kami ke majlis ini. JY



Seputar majlis pelancaran buku antologi puisi "Kepimpinan Musa Aman Dalam Puisi" di Papar, Sabah

Majlis pelancaran buku antologi puisi "Kepimpinan Musa Aman Dalam Puisi" yang diadakan pada 29 Julai 2017, di Puncak Iqra, Papar, Sabah Sabtu lalu berlanjar lancar dan meriah. Buku antologi puisi ini diselenggarakan oleh Jasni Matlani, Siti Rahmah G. Ibrahim dan Abdul Karim Gullam memuatkan sebanyak 67 buah puisi hasil karya seramai 47 orang penulis negeri Sabah. Rakan-rakan penulis dari pelbagai persatuan yang terlibat menyumbang karya mereka dalam antologi tersebut turut hadir memeriah dan menyokong program ini. Majlis pelancaran buku yang disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah ini juga turut menyaksikan sebanyak 3 buah buku karya Tuan Haji Hussin Kassau, seorang penulis dan penggiat sastera Sabah turut dilancarkan. Buku-buku tersebut berjudul Sahabatku, Deru dan Debu, dan Himpunan Teks Ucapan Datuk Musa Aman Tahun 2006. Majlis juga dihadiri oleh beberapa mentri kabinet lain antaranya YB Datuk Rosnah Haji Abd. Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, dan YB Datuk Ghullam Haidar Khan Bahadar, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah. Kehadiran tetamu dianggarkan seramai 200 orang. JY

Presiden BAHASA, Jasni Matlani menyampaikan cenderamata kepada YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah semasa majlis tersebut.

JY (dua dari kiri) mengabdikan foto kenangan bersama rakan-rakan BAHASA di hadapan Perpustakaan Puncak Iqra, Papar, Sabah seusai majlis.


Rakan-rakan BAHASA bersama Penulis dan Penggiat Sastera Sabah, yang juga Tuan Rumah Puncak Iqra Papar, Tuan Haji Hussin Kassau (tengah).

Sebahagian ahli-ahli BAHASA seluruh Sabah yang hadir memeriahkan majlis.

25 July, 2017

Peluncuran antologi puisi Kepimpinan Musa Aman Dalam Puisi

Sabtu ini, 29 Julai 2017, bertempat di Puncak Iqra, Kampung Pengalat Besar, Papar, salah satu acara yang akan dimuat dalam majlis bersama YAB DSP Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah ialah peluncuran buku antologi puisi Kepimpinan Musa Aman Dalam Puisi, yang memuatkan sebanyak 67 buah puisi hasil karya 47 orang penulis negeri Sabah. Buku terbitan Iris Publishing ini diselanggarakan oleh Sdr. Jasni Matlani (Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah), Siti Rahmah G. Ibrahim dan Abd. Karim Gullam. Penulis menyatakan presepsi mereka terhadap kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah melalui karya. Inilah antara peranan penulis, melalui pena dan kertas, mereka menterjemahkan rasa, pemerhatian serta pandangan mereka secara ikhlas terhadap karisma seorang pemimpin, serta pembangunan bangsa dan negaranya. Orang ramai dan masyarakat setempat khususnya para penggiat sastera di daerah Papar dan kawasan yang berhampiran, diseru hadirlah beramai-ramai bagi memeriahkan dan menyokong program ini...



tentang dungu, kepala batu dan kuku besi...

dungu, kepala batu dan kuku besi
itulah kau yang sering meluruskan telunjuk
dan memegang tongkatperintah
lidahmu tak seperti lisanmu
otakmu tak seperti fikirmu
kau bersenandung irama lunak
tapi liriknya munafik
mari letakkan kepala si dungu dibawah
kemudian andaikan otaknya di tempurung lutut
lihat apa yang mengalir dihidungnya
darah atau nanah?

jy, kk
25/7/2017

24 July, 2017

syawal yang berlalu...

masih terasa manis ramadan
lazatnya syawal kemudian muncul
mengorak mesra di lantai kita
kini syawal bakal berlalu
meninggalkan kita dalam wangi rindu
moga bertemu dalam jajaran waktu
yang setia menunggu...

jy, kk
24/7/2017

18 July, 2017

sekutu dan seteru

hari ini
semalam
dan akan datang
sekutu seteru bersatu
seteru sekutu bersekutu
bersekutu berseteru bersatu
berseteru bersatu bersekutu
sekutu, seteru - bersekutu jadi satu
sekutu, seteru - bersatu jadi jitu
sekutu, seteru - berseteru jadi celaru

JY @ Jasni Yakub
kota kinabalu
sabah

18/7/2017


07 July, 2017

Jamuan Aidilfitri Lembaga Koko Malaysia 2017 di Kota Kinabalu, Sabah yang terakhir bagiku...

Hari ini 7/7/2017 @ jumaat, sebelum bersara, inilah tugas terakhirku sebagai Juruacara Majlis sempena Jamuan Aidilfitri di Ibu Pejabat, Lembaga Koko Malaysia, Kota Kinabalu, Sabah setelah setiap tahun sejak lebih 20 tahun majlis seperti ini diadakan. Wajah-wajah terakhir yang melihatku berceloteh dihadapan pasti kukenang, wajah adik-adik yang manis dan mesra, dan juga wajah kakak-abang yang sudah sebati denganku di LKM. Dahulunya ketika berucap di hadapan, mereka ialah Ketua Pengarah LKM pertama Datuk Dr. Hashim A. Wabab, kemudian Datuk Dr. Mohd. Musa Md. Jami, kemudian Datuk Dr. Azhar Ismail, kemudian Datuk Dr. Lee Choon Hui, dan hari ini ialah Datin Norhaini Udin. Majlis tetap sama, cuma khalayaknya yang berlainan. Majlis pagi tadi tanpa pantun seperti kebiasaan, tapi biarlah pantun itu hanya diungkap kan disini :


Asam paya asal kelubi,
Hanyut di laut timbul tenggalam;
Kalau sudah terhutang budi,
Kalian diingat siang dan malam.

JY
kota kinabalu
sabah

7/7/2017
Ketua Pengarah LKM, Datin Norhaini Udin (kanan), Jahiddin Abdul (penyelaras majlis), dan JY mengacarakan majlis Jamuan Aidilfitri LKM Ibu Pejabat, Tingkat 7, Wisma SEDCO, Sabah pagi tadi.

tentang jeneral bisu dan lain lain

seorang kapten bekerja dibawah seorang jeneral yang "bisu"
bertahun kapten itu bersabar dengan sikap jeneral
kapten itu, entah kenapa tiba tiba memberitahuku sikap sebenar jeneral
barangkali sudah tidak tahan dengan kerenah jeneral itu
atau sekadar melepaskan perasaan tidak puas hati yang membuku dijiwanya
pernah beberapa kali katanya, ketika kapten berjumpa dengan jeneral
memberi taklimat tugas semasa, dan memberi penerangan kepada jeneral tentang beberapa perkara perlu dilakukan ketika berhadapan dengan para pengikut
ironinya, ketika kapten berbuih mulut memberi penerangan, jeneral hanya tunduk dan diam sambil jari tangannya sibuk menulis sesuatu di kertas
selesai kapten memberi penerangan dari a hingga z, jeneral itu juga terus diam, bisu....
begitulah kebiasaan sikap jeneral itu bilamana berurusan dengan kapten
dengan pihak lain bagaimana? ya, dengan pihak lain pun begitu juga
era sekarang ini bekerja dan memberi arahan tidak perlu dengan mulut, tapi dengan tulisan dikertas dan membisu, kata kapten itu kepadaku
aku senyum dan dengan nada nakal, aku ingatkan pada kapten supaya membawa jeneralnya berjumpa doktor bagi memeriksa kemungkinan ada ketumbuhan dalam mulutnya

 (bersambung...)


04 July, 2017

Program BAHASA sepanjang bulan Julai 2017

Semua ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), semua penulis dan penggiat sastera, pemimpin persatuan penulis di negeri Sabah dan masyarakat yang tinggal berdekatan dengan lokasi program berlangsung. Dimaklumkan program sastera BAHASA sepanjang bulan Julai 2017 ini adalah seperti susunan berikut :

9/7/2017 @ Ahad, jam 11.00 pagi - Majlis Terbuka Idulfitri YB Datuk Haji Mohd Ariffin Arif di Kg. Pimping, Membakut

10/7/2017 @ Isnin, jam 11.00 pagi - 2.00 petang - Majlis Hari Raya penulis bersama YB Datuk Haji Mohd Ariffin Arif di Dewan Madani, Tingkat 2, Wisma MUIS, Kota Kinabalu

12/7/2017 @ Rabu - Rombongan GAPENA berada di Kota Kinabalu, dan program Presiden BAHASA di SMK Kota Marudu

13/7/2017 @ Mesyuarat Dialog Teluk di Lawas, Sarawak melibatkan GAPENA, BAHASA dan kerabat GAPENA di Sarawak dan Labuan

14-17/7/2017 - Program Sastera di Semporna - Presiden BAHASA sebagai pembimbing Bengkel Novel Dewasa DBP dan pembicara program Bicara Karya DBP

22/7/2017 @ Sabtu, jam 9 pagi - Mesyuarat Agung Koperasi BAHASA di Hotel Sri Perkasa, KK

22/7/2017 @ Sabtu, jam 12 tghari - Majlis Hari Raya BAHASA di Hotel Sri Perkasa, KK

22/7/2017 @ Sabtu, jam 2 petang - 12 malam - Majlis Rumah Terbuka Idulfitri Cikgu Mahmud Jahar, Pengerusi BAHASA Ranau di Kg. Matan, Ranau

23/7/2017 @ Ahad, jam 9.00 pagi - Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi - Kepimpinan Musa Aman Dalam Puisi di Puncak Iqra, Kg. Pengalat Kecil, Papar.

Semua pihak diundang hadir menjayakan dan memeriahkan program ini. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Presiden BAHASA Encik Jasni Matlani, ditalian 016-8115593 atau Setiausaha Satu BAHASA, Encik Jasni Yakub, di talian 010-9305214. Terima kasih. JY

03 July, 2017

tentang kau bunga...

kau bunga
yang memberiku harum
memerahkan kembali warna
memakna semula garis waktu
antara titik ke titik
usia kepercayaanku
terima kasih bunga
teruslah memberikan
maknamu...

jy
papar
3/7/2017


Majlis Raya BAHASA.....22 Julai 2017

Sambutan raya diteruskan sepanjang syawal....tak kira bila diadakan kerana raya berlangsung selama sebulan, itu kata abang Ali Amat Anas, seorang penulis dan pelakon negeri Sabah ketika mengunjungi beliau dipejabatnya di Sabindo, Kinarut kelmarin. Ya, bersempena itu, BAHASA mengadakan sambutan raya pada 22 Julai 2017 di Hotel Sri Perkasa, Kota Kinabalu, Sabah bemula jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang. Orang ramai khususnya rakan-rakan penulis dipelawa hadir memeriahkan majlis ini. Beberapa acara sampingan turut diadakan antaranya ucapan pemimpin, bacaan puisi, persembahan lagu lagu raya dan lain-lain. Rakan-rakan penulis yang berkeringanan hati menyumbang juadah dan kuih raya dialu-alukan berbuat demikian dan membawanya semasa majlis tersebut berlangsung. Selamat hari raya idulfitri dari BAHASA....

Tiga Julai Dua Ribu Tujuh Belas...tentang dijalanan dan dipejabatku pagi ini

Hari ini, 3/7/2017, raya ke-9, jalanraya mula sesak ketika melalui lebuhraya Papar - Kota Kinabalu. Kebanyakan warga kota telah kembali ke kediaman masing-masing kelmarin untuk mula bekerja hari ini, anak-anak juga sudah mula bersekolah, tadika mula beroperasi, dan kebanyakan kedai-kedai serta gerai-gerai mula dibuka semula. Inilah kehangatan raya...walau dalam keadaan sederhana, tetapi meriah. Harga minyak yang telah turun beberapa minggu dan menurun lagi sebelum idulfitri lalu memberi sedikit kelegaan pada rakyat dan masing-masing mereka menggunakan peluang beraya di lokasi saudara mara yang tinggal jauh dan menggunakan peluang harga minyak yang sedikit murah ini. Pagi ini, sesampai di pejabat, seperti biasa, aku sering menjadi orang pertama membuka pintu dan memasang lampu pejabat, suasana agak sunyi. Tapi aku yakin, selepas jam 7 pagi nanti, suasana akan riuh seperti ramadan lalu bilamana kebanyakan rakan-rakan pejabat telah kembali bekerja. Di pejabat pagi ini, aku membuka lembaran kerja yang perlu dibereskan sepanjang minggu ini, sambil menunggu sapaan "good morning jasni..." dari bossku yang baik hati Mdm Arlene...yang aku sedang menunggu!

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya