24 July, 2015

Kita bersama mengharunginya....

HA
akhirnya kita sealiran di menara gading ini
dalam usia usaha hampir ke pelabuhan
tidak mengapa!
kita berkayuh dan berdayung
hingga ke muara jaya

Tentang perjalanan kita...

Berjuang tanpa sokongan dan semangat dari orang terdekat memang sangat menggugah ketahanan dan ketabahanku. Maaf, mungkin pemikiran kita terhadap 'halatuju' ini mungkin berbeza, tetapi mohonlah supaya memahami bahawa akulah si pengemudi yang bertanggungjawab menghalakan bahtera kita ini untuk mahu kemana. Tidak menghargai usahaku tidak mengapa, tetapi tolonglah supaya menghormati tanggungjawab ini seandainya kau masih mahu terus bersamaku berlayar ke destinasi TITIK...


20 July, 2015

Tahniah Bang Ali...cerpenmu tersiar!

Tahniah Bang Ali Amat Anas, kerana cerpenmu berjudul "Mulianya Kemuliah" telah tersiar di akhbar Utusan Borneo pada 19/7/2015 yang lalu. Moga ianya jadi inspirasi untuk abang terus berkarya...

JY kembali bertugas....

Hari ini (20/7/2015), JY kembali bertugas selepas 3 hari meraikan raya. Tahun ini raya menyaksikan kebanyakan orang merayakannya dengan agak sederhana, begitu juga dengan kunjungan rakan taulan dan sahabat handai yang datang juga agak berkurangan, semuanya kerana langkah 'berjimat cermat'. Bagi penjawat awam, gaji Julai telah diterima seawal 9 Julai, dan untuk menunggu gaji bulan berikutnya pada 25 Ogos, kena melalui lebih kurang 50 hari lamanya. Hal-hal lain yang merencatkan pergerakan raya ialah kos petrol yang mahal, dan kenaikan harga barang-barang keperluan yang meningkat sejak GST diperkenalkan. Ini menyebabkan golongan bawah dan pertengahan kian merasai bebanannya. Pada rakan-rakan, JY mengambil kesempatan mengucapkan selamat bercuti dan selamat berhari raya, walaupun dalam keadaan sederhana tetapi meriah....

16 July, 2015

Pulang awal hari ini...

Hari ini, kami bekerja separuh hari atas budibicara pihak pengurusan. Semua staff LKM diberi pelepasan awal, pulang jam 1 petang, sempena sambutan Hari Raya Idul-Fitri esok. Alhamdulillah...

Tentang memberi dan menerima hormat...

Menghormati orang lain terasa bagai satu kewajipan, tapi bila orang yang dihormati itu pula tidak menghormati kita, sehingga bila kita tegur dan beri salam dia tidak menjawap, kita memberikan senyuman dia memalingkan muka, dan dia berbuat begitu setiap kali kita memberi hormatnya padanya, maka jawapannya tidak perlukan memberi hormat terhadap orang seperti itu. Kerana memberi hormat juga ada hadnya. Bila had hormat itu telah melebihi dari paras yang sepatutnya, maka jangan harap dia akan mendapat penghormatan lagi daripada orang lain. Minta maafa sajalah...

Ramadan kemudian Syawal....

Mendepani 1 Syawal esok (17/7/2015), bermakna meninggalkan ramadan yang penuh barakah dan kasih sayang ini. Moga masih dianugerahi usia oleh Allah SWT untuk menggalas ramadan pada tahun-tahun mendatang. Tentang raya, bersederhana saja kerana yang penting, roh raya itu diimarahkan dengan ikatan silaturahim, bermaaf-maafan dan melupakan segala sengketa. Moga kita mendapat rahmat lil-alamin.

Selamat bersara KP LKM, Datuk Dr. Lee Choon Hui

Kelmarin (15/7/2015) adalah hari terakhir bagi Ketua Pengarah kami, Datuk Dr. Lee Choon Hui melaksanakan tugasnya di Lembaga Koko Malaysia. Seperti ungkapan, "setiap yang datang akan pergi", begitulah juga kelazimannya kita sebagai Penjawat Awam. Kita tidak akan selamanya berada disini, samada sebagai staff biasa, pegawai atau pengurusan tertinggi. Moga Datuk suksess dengan kerjaya baru selepas persaraan. Kalau ada sumur diladang; boleh kita menumpang mandi, kalau ada umur panjang; pasti kita berjumpa lagi....terima kasih dari kami Datuk Dr. lee Choon Hui.

15 July, 2015

Kuhanya perlukan sokonganmu!

Aku hanya perlukan sokonganmu waktu ini. Memang sukar meneruskan 'perjalanan' ini tanpa sokongan orang terdekat sepertimu. Moga kau memahami!


Salam lebaran kekanda Ali Amat Anas

Hari ini (15/7/2015), selepas ramadan berbaki 2 hari lagi sebelum syawal menjelma, sahabat karibku, yang juga kuanggap sebagai seorang abang iaitu Ali Amat Anas (dua dari kiri), awal pagi lagi telah bergerak balik ke kampungnya di Sim-Sim, Sandakan untuk pulang beraya, dengan menaiki bas dari Terminal Inanam. Semoga selamat dalam perjalanan pergi dan balik nanti kekandaku....jangan lupa telur penyu.





12 July, 2015

menghadiri majlis berbuka puasa BAHASA...

Kelmarin (11/7/2015), JY menghadiri majlis Berbuka Puasa Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), di Ujana Tang Hotel, Sembulan. Dihadiri lebih 30 orang ahli BAHASA dan keluarga. Selepas berbuka, acara diteruskan dengan solat maghrib, tazkirah, solat isyak dan solat sunat tarawih. Selepas bertarawih, hadirin kembali menikmati hidangan. Dan diikuti dengan pertemuan dan perbincangan dengan Sdr. Jamawi Jaafar berkisar tentang kegiatan sastera di Tenom pada bulan Oktober akan datang. Semoga semua yang dirancang dapat berjalan lancar. Salam ramadan al-mubaraq....

10 July, 2015

Tentang janjiku...

Kepada para sahabat yang pernah aku janjikan "sesuatu", bersabarlah sehingga aku temui "sesuatu" itu, pasti akan aku serahkan juga pada kalian... Maaf jutaan maaf kerana sehingga kini aku masih terus memberikan janji! Moga esok masih ada kesempatan usia untuk aku menunaikan janji itu.

Merasai sakitnya 'perpisahan'

Kalian belum pernah merasai perpisahan, jadi jangan cuba untuk mengajar orang yang pernah merasainya. Sakitnya perpisahan hanya orang yang pernah melaluinya sahaja dapat menterjemahnya...

Tentang ujian kesusahan dan kesenangan...

Dua ujian akan datang kepada manusia, iaitulah ujian peritnya kesusahan dan ujian nikmatnya kesenangan. Dengan kesusahan, bagaimana kita sabar mendepaninya, dengan kesenangan, bagaimana kita bijak mengemudinya. Fikir-fikirkan...

Mempersoalkan solat seseorang, wajarkah?

Bagaimana seseorang boleh menuduh seseorang yang lain tidak mengerjakan solat, sedangkan orang yang menuduh itu sendiri tidak pernah melihat adakah orang yang dituduhnya itu bersolat atau tidak. Kenapa hal begini berlaku, dan perlukah seseorang itu memberitahu kepada seseorang yang lain bila waktu dia bersolat. Bukankah bersolat itu urusan individu itu sendiri dengan Allah? Perlukah seseorang itu memberitahu "untuk perhatian kepada semua orang, aku sudah bersolat...." Adakah begitu caranya? Meminjam kata-kata SN Datuk A. Samad Said, "terima kasihlah kepada penjaga pintu syurga" atas keprihatinan kalian itu...

Ummi ke Laos...

Ummi telah terbang ke Laos pagi tadi....itulah maklumat mutakhir kuterima dari seorang bekas rakan sekuliahnya.  Aduhai...moga kau selamat dalam perjalanan pergi, dipermudahkan segala urusan selama di sana dan kemudian selamat kembali semula ke bumi Malaysia.

09 July, 2015

Tentang malim gunung......Eudi, apa khabarmu waktu ini?

Kejadian gempa bumi di Sabah pada 5 Jun 2015 yang lalu, yang berkekuatan 6.0 magnititud mengingatkan JY pada tarikh yang sama, 5 Jun 2001, empat belas tahun yang lalu, JY dan beberapa rakan dalam Ikatan Penulis Sabah (IPS), telah menawan puncak kinabalu dalam program Dari Kota ke Kinabalu. Waktu itu, malim gunung kami bernama Eudi. JY masih ingat, sewaktu pendakian, seorang ahli kami mengalami kekejangan otot dan hampir tidak berjaya meneruskan perjalanan ke puncak. Tapi Eudi inilah, yang sanggup memapah dan malah sesekali menggendong ahli kami sampai ke puncak. Inilah antara pengorbanan malim gunung yang kurang diambil peduli oleh orang sebelum ini. Tapi selepas kejadian gempa, barulah semua pihak terbuka mata. Aduhai, dimanakan Saudara Eudi sekarang ini? Adakah dia masih bertugas sebagai malim gunung? Moga saudara Eudi sihat bersama keluarga, dan terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk berkhidmat kepada masyarakat.

07 July, 2015

tetang 'perahu baharu'

hanya tinggal kalian yang diharapkan
untuk melukis semula peta
yang telah musnah diconteng
padamkan peta lama dan usang
ayuh, berkayuh di perahu baharu
semakin laju menuju gaharu

JY, kk
7/7/2015

ungkapan mindaku...

 Saya sangat bersetuju dengan ungkapan-ungkapan ini :
1. Saat sangat tiada, walaupun yang diminta sangat sedikit, tentu sangat sukar untuk dipenuhi.
2. Bagus juga bila sesekali merasai susah, kerana waktu susah inilah, kita mengenali  
     siapa saudara, siapa rakan dan siapa sahabat kita yang sebenarnya.

JY
7/7/2015

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya