31 December, 2008

Azam JY sempena tahun baru..!

Selamat tahun baru 1430 hijrah dan 2009 masihi. Semoga kedatangan tahun baru ini membawa diri kita lebih terarah dan kekal dalam pedoman Allah SWT. Hijrah bagi JY kali ini ialah memakmur dan menyerlahkan bakat dan kebolehan yang ada untuk dikongsi bersama oleh orang lain. Tak kaya untuk memberikan harta, tak rupawan untuk menarikpikat dan tak tinggi ilmu untuk mengajar orang lain. Tapi sekadar memberikan khidmat yang termampu apabila diminta, dan memberikan khidmat terbaik untuk orang yang meminta khidmat. Insya-Allah.

21 December, 2008

Menjenguk sejenak di blog

Beberapa hari tidak mengemaskini blog ini maklum saja JY bercuti selepas Rosnah bersalin. Membuka emel pagi ini, banyak senarai menunggu untuk dibaca tetapi JY sempat membaca mana-mana yang perlu dan berkaitan saja. Terdahulu JY merakamkan ucapan 'jutaan terima kasih' atas titipan tahniah daripada sahabat-sahabat. Yang dapat JY balas ialah terima kasih, terima kasih, terima kasih..... Buat Sdr. HA, terima kasih kerana menulis tentang kegembiraan kami di Membelah Kabut. JY bercakap dengan Rosnah kelmarin, bahawa HA/Yazidah dan JY/RR masing-masing memiliki kegembiraan yang amat membahagiakan. Setakat ini dahulu, JY sebenarnya datang ke pejabat untuk mengambil beberapa dokumen penting. Jumpa nanti. Salam JY.

16 December, 2008

Cikgu Osman yang kukenali...

Saya mula mengenali Cikgu Osman sekitar tahun 1998. Waktu itu saya baru selesai menjalani latihan rekrut di PULAKAS (sekarang dikenali sebagai PULAPOL), Kepayan. Saya menjejakkan kaki pertama kali di Balai Polis Menggatal tahun itu, tempat bertugas atau stesen yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran SPDRM Daerah Kota Kinabalu untuk saya. Waktu itu bermulalah kehidupan baru saya sebagai seorang anggota SP yang menjalankan tugas-tugas kepolisian. Pertama kali melaporkan diri, Cikgu Osman lah yang memberi tunjukajar tentang penugasan polis kepada saya. Saya masih ingat, lima kewajipan asasi anggota Polis Diraja Malaysia adalah Memelihara Undang-Undang dan Ketenteraman, Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Malaysia, Mencegah dan Mengesan Penjenayah, Menangkap dan Mendakwa Pesalah-Pesalah dan Mengumpul Risikan Keselamatan. Itulah 5 perkara yang perlu didukung apabila seseorang telah memberi kesanggupan mereka untuk bergelar anggota polis. Baiklah, mengenali Cikgu Osman, bukan kerana beliau seorang pendidik seperti guru yang mengajar murid-murid di sekolah. Dipanggil cikgu kerana dialah anggota senior waktu itu, berbanding kami anggota baru seramai 8 orang. Walaupun ada lagi beberapa anggota senior lain, tetapi Cikgu Osman telah dilantik sebagai ketua yang menjalankan tugas penyelia dan pentadbiran, walaupun waktu itu beliau masih berpangkat konstabel. Masa terus berlalu, dipendekkan cerita, hasil kesabaran, didikasi dan komitmen yang berterusan terhadap tugas dalam pasukan, akhirnya sekitar tahun 2004 - 2005, beliau telah dinaikkan ke pangkat Koperal. Sikapnya yang sangat terpuji itu akhirnya memberi pulangan lumayan apabila sekali lagi dinaikkan ke pangkat Sarjan pada awal 2008 yang lalu. Apabila saya menulis dalam blog ini bertajuk MENYAYANGI KENANGAN, Sarjan Osman menghantar emel kepada saya dan mengatakan beliau amat memahami apa yang saya tulis itu. Ini kerana Sarjan Osman (waktu itu Konstabel Osman) merupakan orang yang paling dekat dengan saya (dalam konteks peribadi), yang juga boleh berbicara mengenai hal-hal peribadi. Sekarang ini Sarjan Osman sudah berjaya mengejar cita-citanya dalam pasukan SPDRM sepertimana yang diidam-idamkannya sewaktu kami bersama-sama meredah malam, mengharungi hujan dan panas dan tak kurang juga disaat-saat indah sewaktu kami duduk minum dan bercerita di pekan Menggatal setiap kali selesai bertugas dulu. Walaupun suasana itu tidak dapat lagi kami rasai kini lantaran kesibukan tugas masing-masing, tetapi mengenali Sarjan Osman banyak memberi saya keinsafan dalam mengharungi kehidupan di alam nyata ini. Semoga Sarjan Osman akan sukses dalam tugas dan kehidupannya yang mendatang... Itulah, Cikgu Osman yang kukenali. (Foto kenangan bersama Cikgu Osman akan dipaparkan pada masa akan datang).

Berfikir sejenak...

Ini ungkapan umum dan seringkali diperkatakan oleh sesiapa pun. Yang mengajak kita supaya belajar berfikir tak kira sesiapapun. Misalnya, sewaktu dalam kenderaan bersama keluarga menuju ke pekan Papar baru-baru ini, semua pengguna terpaksa menggunakan jalan lama Kampung Sapat, Papar kerana jalan baru sedang diperbaiki. Tahu sajalah jika jalan kampung, memang sesak dan menyesakkan. Deretan kenderaan begitu panjang bermula simpang jalan utama hingga ke jalan sepanjang tebing sungai Kampung Sapat, Papar. Ketika hampir tiada seorangpun pemandu yang memberi peluang laluan kepada pemandu lain, dari jauh JY melihat seekor anjing berdiri ditepi jalanraya, sekejap menoleh ke kiri dan kanan (mungkin dengan penuh sabar), seolah-olah meminta simpati dari manusia, barangkali hanya untuk meminta laluan ke seberang jalan. Satu ketika, semasa sebuah kenderaan menghampiri dan melintasi anjing itu, pemandunya membunyikan hon menyebabkan anjing itu terperanjat dan terus meloncat lari ke dalam semak. Bayangkan jika anjing tiba-tiba menggonggong kita, tentunya kita juga terperanjat dan memaki hamun. Tetapi kerana ia adalah anjing, ia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melarikan diri sahaja. Bayangkan juga, jika anjing itu melarikan diri ke jalanraya dan disambar pula oleh kenderaan yang datang dari hadapan. Aduhai, betapa... jikalau anjing itu mati/menemui ajalnya, sudah tentu ia mati dalam 'kesabaran'nya dan juga mati kerana kezaliman manusia. Yang dapat JY pelajari, bagaimana nilai kesabaran dan sikap prihatin manusia berbanding binatang? Mungkin manusia lebih dahsyat dan teruk lagi..! Berfikir walau sesaat juga mendapat pahala dari Allah SWT. Wallahhu'alam.

15 December, 2008

Oh Fatimah, Hasyuda, Arun dan OM

1. "Oh Fatimah, gadis ayu, indah sungguh, parasmu, mas ayu....." Siapa tidak ingat dengan lirik lagu 60'an ini yang begitu sinonim di kalangan kita tidak kira usia. Sebenarnya lagu 'Oh Fatimah' ini menjadi pilihan Sdr. Hasyuda apabila diminta menyanyikan lagu sempena perkahwinan anak perempuannya, Syazierah di kediaman mereka di Kampung Lumadan Laut, Beaufort malam tadi. Siapa bilang Ketua Satu IPS tak boleh menyanyi? Kerana pada siangnya beliau juga telah menyumbangkan sebuah lagi lagu balada khusus untuk para hadirin yang memenuhi undangan. Tetapi sebenarnya secara peribadi, ini merupakan kali pertama JY menyaksikan Sdr. Hasyuda menyanyi kerana sebelum ini JY hanya melihat beliau membaca sajak. Orang seni sering melakukan sesuatu diluar jangkaan. Teringat kata-kata Wak Khalid Salleh, katanya "seni itu melangkaui pemikiran manusia".

2. Bagaikan telah diatur, dua artis terkenal Sabah hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan sulung Hasyuda Abadi di Kampung Lumadan Laut, Beaufort kelmarin (14/12/2008). Yang dimaksudkan ialah Mat Konggo @ OM dan Sdr. Arun, penyanyi lagu-lagu bajau, berasal dari Kudat. Dinamakan artis, OM dan Arun begitu menarik dimata hadirin kerana latar belakang seni mereka masing-masing. Arun menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa bajau (tak ingat judulnya), yang menariknya lagu tersebut adalah hasil ciptaannya lengkap dengan CD sendiri. Sementara OM menyanyikan 2 buah lagu dangdut dan menyelitkan sedikit skesta di akhir persembahannya. Katanya, "Lelaki yang berkahwin ini ada tiga bahagian. Pertama, lelaki yang bujang. Kedua, lelaki yang mendapat kebenaran isteri dan ketiga, lelaki yang gatal..." Sama-samalah kita fikirkan.

3. JY merakamkan ucapan tahniah kepada Sdr. Hasyuda dan Pn. Yazidah, atas perkahwinan anak perempuan sulung mereka Syazierah dan suami, Azrul. Semoga pasangan mempelai ini diberkati Allah SWT dan bahagia hingga ke akhir hayat. Terima kasih kepada Sdr. Hasyuda dan semua keluarganya yang memberi kepercayaan kepada JY dan Syafiq mengemudi majlis sehingga selesai tepat jam 11 malam tadi.

12 December, 2008

Bersama Khalid Salleh (Wednesday, November 26, 2008)


JY bergambar kenangan disisi Wak Khalid Salleh (pelakon dan dramatis terkenal Malaysia) semasa mengadakan Bengkel Penulisan Kreatif untuk guru-guru daerah Tuaran. Kegiatan ini diadakan pada 20 - 22 Oktober 2008, bertempat di Hotel Ruby Inn, Kota Kinabalu. Wak Khalid merupakan salah seorang penceramah (slot teater) pada bengkel tersebut. Antara ungkapan Wak Khalid sewaktu membentangkan ceramah bertajuk Peranan Teater Dalam Pendidikan, katanya "Seni itu terlalu luas dan melangkaui ruang lingkup pemikiran manusia".

Menyebut Datuk Shuhaibun dan Ibunda Dg. Salmah

1. Petang kelmarin JY dihubungi Tokoh Budayawan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Hj. Shuhaibun Yussuf sewaktu JY baru melabuhkan punggung di kerusi, sepulang dari pejabat. Dalam keadaan suaranya yang lemah, Datuk meminta JY singgah ke rumahnya sebelum JY bergerak ke rumah Sdr. Hasyuda di Kg. Lumadan, Beaufort pada hari Ahad (14/12/2008) nanti. Kerana pada tarikh itu, Sdr. Hasyuda dan keluarga mengadakan majlis perkahwinan untuk anak perempuannya. Pada mulanya JY ingatkan Datuk ingin menumpang kenderaan JY untuk ke Lumadan. Tetapi bila diterangkan, rupanya Datuk hanya mengirimkan hadiah sebagai pengganti diri. Datuk memberitahu beliau baru selesai menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Likas ekoran sakit yang dideritainya. "Datuk inda dapatlah datang ke rumah anaknda Hasyuda. Besar hati mahu datang tapi apa boleh buat, Datuk tak berapa sihat..." Demikian luahan ayahanda Datuk Hj. Shuhaibun pada JY. Mengubati perasaannya, JY memberitahu Datuk supaya janganlah dirisaukan atas ketidakhadiran kerana Sdr. Hasyuda memahami, begitu kata JY. Mudah-mudahan Datuk segera sembuh dan sihat seperti sediakala. Amin.

2. Pagi ini sewaktu menyemak senarai panggilan dan pesanan suara di telefon bimbit JY tiba-tiba teringat Ibu Dayang Salmah Salam. Suaranya yang ditinggalkan dalam peti suara HP ini sayup-sayup kedengaran meminta JY menghubunginya semula. Untuk makluman Ibunda Dayang, benda yang ibu minta daripada Hasyuda itu telah JY hantar ke rumah anak ibunda di Taman Sempelang, Sembulan dua hari lepas. Dua benda yang diminta sangat oleh ibunda itu dalah Kad Jemputan Kahwin anak Sdr. Hasyuda dan keratan karya (pantun) Ibunda Dayang Salmah yang telah tersiar di Akhbar Utusan Borneo beberapa minggu lalu. Aduhai Ibunda Dayang Salmah, mata pena dan mata hati mu lebih tajam dari mata lihat...

11 December, 2008

Sekilas tentang Polis Di-Raja Malaysia

POLIS Diraja Malaysia terdiri daripada 93,348 orang pegawai dan anggota. Keanggotaan ini mencerminkan kepelbagaian penugasan yang dijalankan oleh PDRM, dari Tugas Am yang menjalankan tugas tradisional kepolisan dan sentiasa berdampingan dengan rakyat, sehinggalah ke Pasukan Gerakan Am yang menjalankan tugas-tugas 'non-regulatory' seperti pencegahan kemasukan pendatang tanpa izin dan peperangan menentang kebangkitan pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang disandarkan oleh rakyat, PDRM dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam. Kumpulan ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara. Bersama-samalah kita menjaga keharmonian dan ketenteraman negara kita, atau sekurang-kurangnya persekitaran kita kerana sebagai orang awam, kita juga mempunyai peranan masing-masing yang tidak kurang juga pentingnya.

Sengaja JY memasukkan cerita mengenai Polis Di-Raja Malaysia dalam blog ini khusus untuk rakan-rakan seperjuangan yang setia dalam Pasukan Sukarelawan Polis Kontinjen Sabah, khasnya SPDRM Daerah Kota Kinabalu. Terutama Sjn/SP. Osman Nasib, Sjn/SP. Tinus Totongos, ASP/SP. Awang Usli Mohd. Salleh dan lain-lain yang mengenali JY. Layarilah laman web PDRM dengan meng-klik di http://www.rmp.gov.my/

Salam perjuangan.

Jasni Yakub @ JY
KK, Sabah

Mengingati Eishqa Ashaqeela - sebuah puisi JY

Pagi ini tiba-tiba teringatkan anak saudara JY, Eishqa Ashaqeela selepas 4 tahun pemakamannya. Anakku Haiqal mungkin tak sempat menatap wajah Eishqa tetapi memahami perasaan ayahnya melalui puisi ini. Eishqa, Allah lebih menyayangimu.



SEBUAH CATATAN UNTUK ABDULLAH, MUNIRAH DAN EISHQA ASHAQEELA
(JY, RR, Umi, Mim, Mera - pilunya melihat sebuah pemergian)

Abdullah, Munirah dan Eishqa Ashaqeela
raut wajah tak lagi mengukir
sebuah cinta wangi
selain esak tangis meruntun kalbu
pagi ramadan yang syumul
suara Abdullah dan Munirah
terdengar jelas di telinga Eishqa Ashaqeela
rintik jernih jatuh di pipi
melihat si kecil putih bersih
dalam ribaan bonda
seperti dirasainya kehangatan itu dalam tiada

Munirah, lihatlah Eishqa Ashaqeela ini
tanpa jemu dalam dakapmu
yakinlah, para malaikat mengerumuni si kecil
yang harum semerbak firdausi
mereka sama merasai kehangatan dakapanmu
mereka sama menjiwai kesyahduanmu

Abdullah, kau tangisi Eishqa Ashaqeela
sebelum dia menangis dahagakan susu
aku percaya sungai kasih ayah terhadap si kecil
mendepani batas lelakimu

Tuhan merahmati pemergian ini..!

Abdullah dan Munirah
pemergian Eishqa Ashaqeela penuh tragis
amat menyayat jiwa sesiapa yang menyaksikan
selaut cintakasih ayahbonda terhadap Eishqa
seluas benua kerinduan Eishqa terhadap ayahbondanya
sejuta rahmat Tuhan terhadap Eishqa Ashaqeela

“Ayahndaku Abdullah, bondaku Munirah
dan kekandaku Ezeiq
ini lampu syafa’at dari Eishqa Ashaqeela
menerangi kalian di hari kemudian
yakinlah…”

JY,
Sabah Medical Centre
Likas, Kota Kinabalu

2 November, 2004

10 December, 2008

Beberapa catatan JY yang lepas

1. Kelmarin, Bang Mat, Koboi dan JY ( Thursday, November 27, 2008)

Tengahari kelmarin, JY sempat bertemu sambil minum-minum dengan sahabat baik dan JY anggap sebagai abang iaitu Bang Mat @ Mat Konggo di kafeteria, tingkat 3, wawasan plaza. Sebelum itu, JY juga meng'sms' Sdr. Hasyuda untuk tujuan sama tetapi malangnya Sdr. Hasyuda membalas SMS JY mengatakan beliau berada di Beaufort kerana menghadiri taklimat umrah (syukur ahlamdulillah, saudaraku ini akan mengerjakan umrah pada tahun hadapan). Rupanya bang mat tidak keseorangan kali ini kerana sewaktu menunggu kedatangan JY, bang mat ditemani seorang lagi penggiat lakon di negeri ini, Koboi namanya. Bang Mat, seperti kebiasaannya akan mengatakan apa saja mengenai topik semasa dengan JY sambil sesekali berbalas kata dengan Koboi. Pada pengamatan JY, mereka berdua bukan baru berkawan kerana saling 'tidak menjaga' perkataan, dan tentunya mereka berdua ini sudah saling memahami. Biasalah sikap Bang Mat, tiba-tiba terpantul semula cerita mengenai pementasan teater "Menunggu Tuan Presiden" yang baru selesai dipentaskan di DBP Sabah 13 November lalu. Satu sikap Bang Mat, beliau suka bercakap terus terang apabila memperkatakan tentang sesuatu. Seperti halnya teater ini, bang mat mengatakan secara keseluruhan pementasan teater MTP ini adalah baik. Samada jalan ceritanya ataupun kemampuan para pelakon membawa watak-watak masing-masing adalah memuaskan. Cuma kata Bang Mat, beberapa aspek teknikal seperti 'lighting' dan identiti beberapa pelakon yang boleh (sekiranya dipentaskan lagi di masa hadapan) ditajamkan lagi, dan ditampilkan dengan jelas kepada para audien. Watak JY sebagai Ahli Nujum misalnya, menurut Bang Mat, telah berjaya dipikul dengan baik. Penampilan awal JY kata Bang Mat berjaya memukau dan menarik penonton dan sesuai sebagai 'buka panggung'. Tetapi beberapa aspek harus dijelaskan kepada penonton, contohnya apakah sikap Ahli Nujum itu sebenarnya. Penonton harus diberi gambaran adakah Ahli Nujum itu seorang yang boleh dipercayai atau sebaliknya dalam membuat ramalan tentang sesuatu umpamanya dan banyak lagi saranan serta pandangan beliau. Rupanya banyak perkara yang boleh dipelajari seusai pementasan MTP ini. Apapun, inilah iktibar untuk semua. JY secara peribadi perlu banyak belajar untuk menguasai pentas teater dimasa-masa akan datang. Oh ya, pertemuan kami bertiga tak lama kali ini. Hanya berlaku sekitar 40 minit sahaja kerana menurut Sdr. Koboi, mereka berdua harus ke RTM lagi selepas itu. "Hamba bukan calang-calang ahlil nujum. Hamba adalah ahli nujum bertauliah, dan hamba mendapat pentauliahan itu dipuncak gunung tertinggi...." Hee hee, itu antara dialog Ahli Nujum yang JY tinggalkan untuk tatapan saudara semua. Salam.


3. Ibu, minyak dan buah naga

3.1 Petang kelmarin ibu JY dari kampung datang ke rumah. Rosnah meng'sms' JY mengatakan demikian. Bila JY sampai dirumah, ibu tersenyum-senyum. Dan Rosnah pun memberitahu JY bahawa ibu membawa 2 biji nanas dari kampung. Bila ibu melihat JY memberi respon baik, ibu tambah tersenyum dan puas. Aduhai, membahagiakan ibu tak semestinya memberikannya sesuatu benda atau wang, tapi dengan kata-kata pun (dalam konteks ini) sudah memadai. Sedarkah kita, kadang-kadang bila kita lama tak pulang ke kampung, ibu atau ayah akan menelefon kita dan berkata "pulang-pulang la bah kamu di kampung..... tidak semestinya kamu pulang untuk memberikan kami duit. Tapi kami mau tengok kamu, anak-bini kamu cukuplah". Teringat JY bila suatu masa nanti sewaktu JY dan Rosnah sudah tua (menjadi remaja purba), kami juga akan mengatakan demikian pada anak-anak, wallahu'alam.

3.2 Harga minyak dunia sekarang ini berlegar antara 50 dollar setong, dan minggu lepas ia turun 49 dollar setong. Kalau diikutkan harga tahun 80'an dan 90'an dahulu, sekarang ini kita hanya membayar petrol dengan harga sekitar RM1.52 sen sahaja bagi seliter. Tengoklah apa keputusan kerajaan hujung bulan November ini. Minyak turun harga hingga ke paras mana, atau muktamad turun 15 sen sahaja. Ibarat kata ibu JY, minyak turun pun yang lega orang yang ada kenderaan saja. Tapi rakyat biasa, yang tidak mempunyai kenderaan, tepaksa juga membayar tambang kenderaan dan membayar keperluan harian dengan harga mahal. Harga barang 'haram' diturunkan sebegitu mudah walaupun harga minyak turun. JY fikir betul juga kata ibu.

3.3 Di belakang rumah JY, ada ruang sebesar 12 kaki x 10 kaki persegi yang boleh dimanfaatkan dengan aktiviti bercucuk tanam. Adik JY yang tinggal di Kg. Salagon, Beaufort memberikan JY sebanyak 7 batang pokok 'buah naga' untuk JY tanam. Maka sekarang ini, pokok 'buah naga' itupun tumbuhlah dengan suburnya di belakang rumah JY. Hamim ditugaskan menyiram pokok-pokok 'buah naga' setiap pagi dan petang, kecuali ketika hujan. Dikhabarkan 'buah naga' mengandungi pelbagai khasiat antaranya melegakan masalah sembelit dan menghaluskan kulit. Nanti bila pokok 'buah naga' ini berbuah, JY akan cuba dan lihat kesannya.


4. SMS dari kekanda Hasyuda (Tuesday, November 25, 2008)

"Adindaku, kandamu terharu mambaca 'Kasih Teluk Rindu' mu. Tujuh tahun terasa sekejapnya. Tapi tersenyum disapa gelagat anakanda Haikal". Begitu bunyinya sms kekandaku @ saudaraku @ sahabatku Hasyuda pada petang tadi sewaktu JY baru memasuki kenderaan untuk pulang. Maha suci Allah dengan kudrat-Nya, niat JY untuk pulang berubah, JY lantas ke pasar KK membeli lauk dan apa-apa keperluan kemudian kembali semula ke pejabat. Hasilnya, JY pun meng'on'kan semula komputer untuk semata-mata me'respon' sms kekanda HA itu. Benar saudara, tujuh tahun tak terasa perjalanan waktu. Puisi 'Kasih Teluk Rindu' terhasil selepas mengikuti Dialog Teluk yang baru saja selesai diadakan di Sipitang waktu itu. Puisi KTR sebenarnya berkongsi rasa, nafas dan roh dengan sahabat-sahabat yang senasib dengan JY. Waktu-waktu nazak, kalau JY dapat katakan begitu. Ingat lagi, waktu itu JY sebilik dengan kekanda HA, sementara RR sebilik dengan Rafidah dan Sahara. Mabul, JM, ANS, Hj. Ismaily dan lain-lain juga bermain diruang ingatan (noktah). Tentang Haiqal, aduhai. Sudah menghafal beberapa siaran kartun di TV - "emon" untuk Doremon, "men igga" untuk Ultraman Tiga, "encan" untuk Sinchan, "acang-acang" untuk rancangan Kacang-Kacang, "Om bak" untuk Tom-TOm Bak dan banyak lagi. Apapun, ribuan terima kasih buat yang bernama Hasyuda, kekandaku @ saudaraku @ sahabatku. Salam. JY...


5. Puisi JY

KASIH TELUK RINDU

Mengenang pertautan kasih diteluk rindu
mengingati kau yang sentiasa bersama
tak lenyap walau sesaat
waktu yang remaja
adaku adalah adamu
tiadaku adalah tiadamu
ada kita adalah tanda
tiada kita adalah pusara!
diteluk rindu telah kurasai angin
kudengari nyanyi pohonan rhu
dipantai waktu
kawanan burung melagukan syair
teluk persalaman yang dalam
memanjang pantai perkasihan
dari Kimanis ke Teluk Brunei
pantai teluk rindu yang memutih
kita bersama memakna teriak ombak
kita bersama mentafsir garis air
kita bersama menghala arah tuju
rindu yang satu

JY
Putera Jaya Telipok
5.30 pagi @ 18 Nov. 2001

6. Haiqal dan bahasanya

Semenjak beberapa bulan ini JY sukar memahami bahasa Haiqal. Sewaktu usianya dibawah setahun, dia hanya menangis jika lapar atau mengantuk, dia hanya menangis bila lampinnya basah atau sakit perut. Tapi sekarang, apabila usianya akan menjangkau tiga tahun pada Februari 2009, JY semakin sukar memahami bahasa yang dipertuturkannya. Kecuali Rosnah, tempat Haiqal mengadu apabila melihat JY tak memahami kehendaknya. Baru-baru ini JY membeli barang-barang dapur di Tamu Papar, melihat apa yang JY beli, Haiqal pun berulang kali berkata "pa, aku mau makan kambing". JY dan Rosnah tercengang juga kerana Haiqal tiba-tiba meminta kambing. Selepas diperiksa, rupanya Haiqal meminta JY buah belimbing yang dibeli di tamu tadi. Beberapa kali juga Haiqal menjadi bahan ketawa kami apabila dia menyebut "uian" untuk buah rambutan, "uging" untuk jagung dan "uking" untuk puting buhung yang jarang tertanggal dari mulutnya. Sekarang ini pula, setiap kali JY pulang ke rumah Haiqal akan menyambut dimuka pintu dan berkata "bapa puyang udah? Bapa suda akon?". Haiqal bertanya soalan ini selepas melihat JY berlakon teater di DBP Sabah beberapa minggu lepas. Aduhai.....si Haiqal anakku.

7. Teringatkan Melan (Monday, November 24, 2008)

Pemilik puisi Pengawal Tua pada rangkap kedua berbunyi "sesekali ada insan, mengerling sinis pedih, hidup tak selamanya, senyum dan kesepian" dan disudahi rangkap terakhir "pengawal tua mengeluh lagi, rupanya aku, masih tak bebas lagi" adalah merupakan seorang sahabat kami yang kami akrabi cukup lama. Sdr. Melan Bujang, itulah insan yang masih JY hormati sehingga sekarang. Keluhan yang dilampiaskannya dalam Utusan Borneo ini (24 Nov. 2008), mengocak seketika ketenangan JY. Sewaktu beliau berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa di DBP Sabah, beliau merupakan seorang pegawai, sahabat dan penulis yang memiliki pekerti mulia, memiliki kesantunan berbahasa dan didikasi terhadap tugasnya. sehinggalah beliau bersara pada tahun 2006, JY tidak lagi pernah bertemu dengannya meskipun sesekali hanya mendapat khabar dari isterinya, juga seorang kakitangan DBP Sabah. Membaca puisinya Pengawal Tua, semacam ada sesuatu yang ingin diungkapkan oleh pemilik antologi puisi Sapaan Bonda ini. Pada Sdr. Melan Bujang, JY ingin memberi ungkapan "hidup kena diteruskan, selama kehidupan berada pada landasan, bersyukurlah..."


8. Percakapan JY dalam KEMBARA

8.1 Melihat kejayaan yang telah diterokai oleh diri, tolehlah seketika ke belakang. Kerana sejarah sebenarnya banyak dilakar melalui hari-hari yang dilalui. Banyak kerja yang dilakukan hari ini adalah kerjaya yang perlu dihormati, dan harus dilaksanakan sebaiknya juga.

8.2 Hari ini JY bakal memuktamadkan satu keputusan yang penting. Selepas itu lagu 'sayonara' akan selalu berkumandang dicorong sejarah ketika menyambut ulangtahun ke sepuluhnya bulan depan. Sifir kepada keputusanya ini adalah "tak semua yang kita sayangi, kagumi dan cintai" menjadi milik kita selama-lamanya.

8.3 Melihat orang lain telah berada ditempatnya yang tertinggi hasil kerja keras kita dan dukungan kita. Pernahkah orang itu memikirkan siapa watak penting yang barangkali menyediakannya kerusi dan meja tulis serta kertas-kertas laporan yang hanya tinggal dibaca dan disahkannya? Lalu kita masih dengan kerusi buruk dan kerja-kerja rutin serta prestasi bergantung penuh pada 'punch card'? Entahlah, mana-mana saja khau bosss.


9. JY oh JY (Friday, November 21, 2008)

Ketika memujuk kesabaran dikekalkan kerana kesesakan jalanraya sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, pagi ini JY cuba-cuba mengingat bila bermula gelaran JY yang diberikan oleh kawan-kawan di IPS. Gelaran JY tak penting bagi orang lain berbanding anugerah yang diberikan kepada para pembesar. Tetapi, gelaran JY ini juga membuatkan 'batang tubuh' ini dikenali lebih dari nama sebenar dalam Kad Pengenalan dikalangan rakan-rakan yang mendukung dan memperjuangkan sastera di negeri ini. "Bersyukur pada yang ada, dan bersyukur juga pada yang tidak ada pada kita"..... Jy teringat ungkapan itu pernah keluar dari mulut YB Datuk Masidi Manjun, Menteri Kebudayaan, Belia dan Alam Sekitar Sabah sewaktu IPS dan BAHASA membuat kunjungan ke pejabatnya 13 November lalu. Lalu ketika lagu "Mawar Oh Mawarku" berkumandang di corong radio keretaku, baru teringat nama JY mula melantun dibibir rakan-rakan pada tahun 1997 sewaktu Khemah Sastera IPS di adakan di Binsuluk Resort, Membakut. Aduh, kisah lama ini yang susah untuk diceritakan semula...


10. Makan tengahari bersama HA (Wednesday, November 19, 2008)

Petang tadi, seperti kebiasaannya, walaupun jarang-jarang, sekali lagi ketemu dengan kekanda HA sambil makan tengah hari di Tkt. 3. Kami bicara hal-hal
sastera yang tak selesai.


11. Berjumpa Jasadi (Tuesday, November 18, 2008)

Lama tidak kutemui adinda Jasadi Rustam ini. Seingatku, selepas meninggalkan bangku sekolah 21 tahun lalu, baru hari ini kutemuinya dalam keadaan susuk tubuh yang berbeza dek pengaruh masa dan usia. Lalu JY memesan minuman Susu kacang dan dia meminta Milo Ping, dan kami minum ditenggelami pelbagai cerita lama. Aduhai...

12. Selesai menurunkan ilmu di Kem PLKN (Wednesday, June 18, 2008)

Berjaya dalam peperangan! Bukan maksudnya berperang menggunakan senjata, tetapi berperang melawan emosi dan tekanan. Itu yang dapat digambarkan tentang perasaan JY seusai menyiapkan tugas KF di Kem PLKN Tanaki, Tambunan. Tugas fasilitator PPSB adalah menurunkan ilmu kepada anak bangsa. Dalam PPSB, tidak ada istilah 'sama-sama belajar' untuk para pelatih, kerana ilmu yang dimiliki oleh seorang fasi perlu diperturunkan secara total kepada para pelatih. Terima kasih kepada semua fasilitator yang banyak menyokong menjayakan PPSB dan kemuncak hasilnya adalah pada MCP yang baru lalu......!

Menyayangi kenangan

Benar, melupakan seseorang dengan belajar menyayanginya adalah semurni-murni hatibudi seorang manusia. Kerana jika kita mahu melupakan seseorang dengan cara membencinya pastinya perasaan kecamuk akan sentiasa menghantui kita. JY sendiri banyak mempelajari falsafah ini, iya, apabila tiba-tiba terbaca tulisan mengenainya dalam blog sahabat@saudaraku Hasyuda. JY selalu percaya bahawa kita akan sentiasa dekat dihati orang-orang yang mahu melupakan kita dengan cara kebencian dan membunuh ingatannya terhadap kita secara paksa. Pada zahirnya, kita tidak lagi bercambah di atas batas kehidupan hariannya, tetapi sebaliknya.... kita masih tumbuh subur dilubuk hati dan jiwanya. Enam tahun telah berlalu, ketika melihat jalan-jalan yang biasa kami lalui, pejabat pos tanjung aru - tempat berutus kata dan membuahkan cinta, di bawah pondok telefon bandaraya KK tempat aku selalu menunggu kepulangannya dan keindahan taman putera jaya telipok tempat kami meraih dan merayakan kejayaan serta banyak lagi peristiwa yang seringkali mengungkit kenangan membuat diri ini amat bahagia mengingatinya. Benar, itu semua telah menjadi sebahagian daripada masa lalu JY. Tetapi kenangan-kenangan itu masih kusayangi hingga saat ini. Adakah orang lain memikirkan sama seperti JY? Ah, falsafah HA begitu menjentik jiwaku waktu ini.

05 December, 2008

Anak-anak, Raja Guru dan USIA

1. Kelmarin (4 Dis 2008) anak-anakku Ummi, Hamim dan Ameera ke PJ tempat rumah ibunya, meninggalkan JY, Rosnah dan Haiqal. Perasaan sedih tidak dapat disembunyikan terbit dari lubuk hati seorang ayah. Tiba-tiba teringat puisi mengenai anak milik Sdrku HA baru-baru ini, ternyata banyak benarnya. Namun kita perlu hadapi kenyataan dan hidup mesti diteruskan. Insya-Allah minggu depan anak-anak ku akan pulang.

2. Kelmarin pagi, seorang rakan penulis tiba-tiba muncul didepan pejabatku. Renungannya tajam dan mencetus pelbagai persoalan dalam sanubariku. Ketika JY memberi salam, suaranya yang 'tersangat kuat' itu mengejutkan rakan-rakan sepejabatku. Itulah Cikgu Awang Abd. Hamid @ Raja Guru yang kukenali sejak sekian lama. Tanpa berlengah, JY membawanya ke TIngkat 3 Wawasan Plaza untuk bercerita dan minum-minum. Di sana, perbualan kami jadi pelbagai. Dari hal-hal peribadi, keluarga, sastera hinggalah aktiviti terkininya sejak tidak lagi menjadi Jurulatih PPSB. Dalam diam, Cikgu Awang rupanya sedang menyiapkan novelnya setebal satu rim kertas A4, mengisahkan tentang pengalamannya semasa bertugas sebagai guru di Tandek dan Pitas antara tahun 70-an dan 80-an dahulu. Melalui sinopsisnya yang diceritakan kepada JY, novel hasilan Cikgu Awang nampaknya sarat dengan kisah percintaan, perjuangan, budaya, integrasi dan kritikan juga. Mudahan projek novel CIkgu Awang ini akan menjadi kenyataan.

3. Hari ini, bakal melakar sejarah di USIA. Anak perempuan sulung Sdrku HA akan diijabkabulkan dengan pasangannya, Azrul Arun. Moga anaknda kita berdua ini bahagia dan abadi hingga ke akhir hayat. Amin.

Salam JY...

03 December, 2008

HSS dan puisi HA


1. JY awal-awal mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Hadiah Sastera Sabah 2006-2007, khususnya Sdr. Hasyuda dan beberapa yang lain lagi (difahamkan 3 orang lagi ahli IPS juga terpilih). Khabarnya juga penyampaian hadiah akan diadakan pada 20 Disember, bertempat di DBPCS.

2. Puisi Sdr. HA "Sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak" tiba-tiba meruntun hati saya. Seorang ayah, memang mengharapkan dan sentiasa mendoakan sesuatu yang baik untuk anak-anaknya. Hari demi hari berlalu, anak sulung perempuan JY sudahpun meningkat remaja, tahun hadapan sudahpun memasuki tingkatan empat, manakala anak kedua lelaki pula memasuki tingkatan satu dan yang ketiga, perempuan memasuki tahun tiga. Asam garam dan jerih payah membesarkan anak memang mula dirasai. Teringat kata-kata Cikgu Ramli Jusoh, "anak-anak, waktu kecil kita sibuk memeliharanya, tapi bila anak-anak besar, orang tua tercabar menjaganya".


Salam JY...

02 December, 2008

Kelmarin di DBPCS

Kelmarin petang JY ke Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah lagi selepas kali terakhir meninggalkannya pada 13 November lalu. Namun kelmarin JY menggalas tugas lain, iaitu membantu DBPCS menjadi perantara (Juruacara) satu majlis ramah-mesra dan pertemuan antara penggiat sastera Sabah dengan rombongan Bahagian Bahasa dan Sastera B2K Daerah Tutong, Negera Brunei Darussalam anjuran DBP Cawangan Sabah. Acara dimulai dengan ucapan Encik Zubaidi Abas, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan ucapan Encik Chong Ah Fok, Ketua Bahagian Bahasa dan Sastera B2K Daerah Tutong BDS yang juga bertindak selaku Ketua Rombongan, disusuli ucapan oleh Encik Jasni Matlani, Yang DiPertua BAHASA dan Encik Sukor Hj. Usin @ Hasyuda Abadi, Ketua Satu IPS.

Kacang bukan sebarang kacang
kacang dibeli dari Bongawan
datang bukan sebarang datang
datang membawa si buah tangan

Itu pantun yang diungkapkan JY kepada hadirin sebelum menjemput Ketua Rombongan B2K Daerah Tutong menyampaikan cenderamata kepada kedua-dua persatuan penulis aktif di Sabah iaitu BAHASA dan IPS. Selepas selesai acara penyampaian cenderamata, JY mengungkapkan lagi serangkap pantun buat menghargai pemberian rombongan B2K Daerah Tutong itu.

Asam paya asam kulumbi
hanyut di laut timbul tenggelam
kalau sudah terhutang budi
sentiasa di ingat siang dan malam

Kemudian acara pun diteruskan. Sementara hadirin menikmati gabi, diadakan pula persembahan gambus dari Rumpun Seni Bongawan @ Awang Gambus, acara baca puisi, nyanyian lagu-lagu puisi dan penyampaian puisi tradisional. Mudahan IPS akan sampai ke Daerah Tutong Negara Brunei Darussalam suatu masa nanti dalam sesi kunjungan balas.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya