1. JY tertarik membaca tulisan Sdrku ANS mengenai Spiderman yang menjadi kegilaan anaknya, Fawzan. Kerana model superhero ini juga menjadi kegilaan anak lelaki ke empat JY, Haiqal. Di kedai, apa-apa saja barangan mempunyai logo Spiderman seperti baju, seluar, topeng, bola, kasut dan macam-macam lagi pasti menarik perhatian Haiqal. Semasa usia Haiqal 2 tahun setengah, Rosnah pernah belikannya sepasang baju Spiderman. Apabila sampai di rumah, Rosnah pula terpaksa menggunting 'kain sayap' di belakang baju yang dibelikan untuk Haiqal kerana bimbang kalau-kalau Haiqal nanti terbang seperti Spiderman. Kerana percubaan pertama untuk terbang telah dilakukan oleh Haiqal sebelum itu, nasib baik dari kerusi ke lantai sahaja. JY teringat tragedi seorang kanak-kanak jatuh dari bangunan beberapa tingkat tidak lama dulu kerana dikatakan cuba meniru gaya Sipderman terbang. Wal-iya-zubillah. Tapi bukan gaya Spiderman sahaja yang ditiru oleh Haiqal, malah Ultraman dan Cicakman juga tidak ketinggalan. Aduhai...sesekali bercerita kisah anak-anak ini seronok juga saduara-saudara.
2. Petang kelmarin, Sdr. Jasni Matlani @ JM menelefon JY memberitahu satu mesyuarat tergempar mengenai penganjuran Acara Baca Puisi Tentang Palestin di DBP Cawangan Sabah, pada 10 Januari 2009, jam 10 pagi. Mesyuarat ini melibatkan para penggerak acara ini iaitu BAHASA, IPS dan badan-badan NGO lain yang turut dijemput. Acara Baca Puisi Palestin dicadang diadakan pada 18 Januari 2009, bertempat di Lintasan Diasoka, Kota Kinabalu sebagai satu cara memprotes dan mengutuk kekejaman dan pencerobohan membabi buta Israel terhadap Palestin, sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa di bumi Palestin. Selain itu, acara ini juga memberi peluang kepada orang ramai menghulurkan derma untuk tabung Palestin. Semua individu yang telah dijemput menghadiri mesyuarat ini diharap dapat meluangkan masa menghadiri mesyuarat ini esok.