16 January, 2009

Beberapa catatan JY hari ini

1. Pada 14 Januari, pagi-pagi lagi JY menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan jabatan. Dalam ucapan Ketua Pengarah, Dato' Dr. Hj. Azhar Ismail, seperti biasa beliau meminta semua pegawai dan kakitangan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan memantapkan integiriti ke tahap paling tinggi. Selain menyentuh cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam industri komoditi negara, beliau tidak lupa menyentuh mengenai isu kemanusiaan yang sedang melanda rakyat Palestin, di Gaza. Ketidakadilan dunia terutama pemimpin kuasa besar seperti Amerika memang banyak benarnya, apabila seolah-olah merestui kekejaman Rejim Zionis membunuh dan menzalimi penduduk Gaza, Palestin yang tidak berdosa. Apa tidaknya, selepas perang hampir sebulan di Gaza, hanya 13 orang tentera/penduduk Israel terbunuh, manakala hampir 1000 nyawa dan hampir 5000 cedera parah di Gaza. Di akhir majlis itu, Ketua Pengarah kami meminta supaya ditubuhkan Tabung Gaza diperingkat Jabatan dengan serta merta untuk membantu rakyat Palestin. JY sebenarnya berkesempatan mendeklamasi sebuah sajak berjudul MUNTAZER DAN SEBERKAS PUISI GAZA susulan dari kesedaran mengenai kesengsaraan saudara-saudara kita di Gaza.

2. Selepas majlis perhimpunan bulanan jabatan, JY terus ke DBP Sabah menghadiri satu sesi perjumpaan dengan Pengarah DBP Sabah bersama-sama beberapa aktivis Sastera antaranya Sdr. Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Naddin Shaiddin dan Shahirul Amirul. Pertemuan itu bagi maksud membincangkan pelaksanaan satu lagi acara baca puisi untuk mendapatkan sumbangan rakyat Palestin, dan pelancaran antologi puisi Gaza. Kegiatan ini akan diadakan pada 18 Januari 2009, bertempat di Kota Kinabalu.

3. Kelmarin, 15 Januari 2009, JY memulakan penggambaran tele-movie berjudul RUMAH HITAM arahan Ella Sabah di kampung Bundusan, Papar. Ini merupakan kali pertama JY beraksi di set, dan berjaya menghabiskan 2 scene dengan jayanya, walaupun beberapa kali juga diulang dan diulang lakonan dan dialog. Itu perkara biasa kata Bang Mat @ OM, seorang pelakon dan pelawak terkenal Sabah. JY merasai juga keakraban dan sifat saling memahami dan bekerjasama bersama kru Avicraft Production, sebuah produksi tempatan yang berpengalaman di negeri kita ini.

3. Hari ini (16 Januari 2009), JY akan ke lokasi lagi di Kampung Bundusan, bagi menghabiskan 1 lagi babak terakhir yang tidak sempat diselesaikan kelmarin. Mudahan segalanya akan berjalan lancar hari ini.

4. Sdr. Hasyuda sekarang berada di Kuala Terengganu, bagi maksud melaksanakan tugas dengan jabatanya Suruhanjaya Pilihanraya. Umum tahu, esok adalah hari pembuangan undi bagi parlimen Kuala Terengganu. Selamat betugas kepada HA.

Salam dari JY.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya