1. Melaksanakan tugas sebagai fasilitator PPSB di Kem PLKN Tanaki Tambunan, pada 22-24 Februari lalu adalah satu tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen. Bukan melaksanakannya sekadar 'ala kadar' atau sekadar 'melengkapkan modul' sahaja. Seperti kata Sdr. Hasyuda, sekadar 'habiskan tugas dan menunggu pula bayaran elaun beberapa bulan kemudiannya'. Moga semua kalangan fasilitator PPSB dapat menempatkan tanggungjawab ditempat teratas, disamping imbuhan yang pastinya kita akan perolehi juga kemudiannya. Terima kasih kepada semua fasilitator PPSB Kem Tanaki Tambunan iaitu Bang Mat, Kekanda Hasyuda, Bang Ali Amat Anas, Hj. Manchu, Harmidi, Azroy, Maznah, Jaslin dan Karim Gullam yang membantu melicinkan pelaksanaan PPSB di Kem Tanaki. Jasa kalian hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.
2. Memasuki pejabat untuk bertugas semula pada 27 Februari 2009, JY dihidangkan dengan tugas-tugas pejabat yang tertangguh beberapa hari. Tapi dapat diselesaikan pada petang hari yang sama. Alhamdulillah.
3. Kelmarin, 1 Mac 2009, JY dan RR menghantar Hamim ke asrama SMK Benoni, Papar. Maka bermulalah satu kehidupan baru untuk anak kami, Hamim. Sewaktu memasuki bilik asrama dimana Hamim ditempatkan, JY teringat kenangan ketika JY menetap di asrama SMK Bongawan, Membakut ketika masih menuntut dulu antara tahun 1985 - 1987. Tanpa dipaksa-paksa, perasaan lelaki ini tiba-tiba bertukar hiba saat meninggalkan Hamim. Sementara Hamim, tidak pula menunjukkan apa-apa reaksi. Semasa kenderaan kami meninggalkan bangunan asrama, isteriku Rosnah pula menangis. Alasan kami hampir sama, kerana Hamim tidak pernah berjauhan dengan kami sebelum ini. Moga Hamim menjadi manusia berguna dan belajar berdikari selama menetap di asrama.
Salam.