Mengenang Almarhum Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, banyak peristiwa yang terpercik diruang mata, diruang telinga dan diruang ingatan kami sepanjang mengakrabi beliau lebih sepuluh tahun lalu. Sebagai - umpama seorang anak dan dengan ayahnya, diri alhamrhumlah tempat kami bermanja, mendapatkan nasihat dan pandangan, beliau 'mendodoikan kami ketika menangis' sambil menyanyikan lagu-lagu rohani yang meniup semangat kami meneruskan perjuangan melestarikan sastera. Almarhum pernah satu ketika dulu, meminta IPS meneruskan perjuangan walaupun hanya bergerak bersendirian, walaupun tanpa dana yang mencukupi. Kata almarhum, "senjata penyair cukup dengan sebatang pen dan sehelai kertas".
Semalam ketika sampai dihalaman rumah keluarga almarhum bagi menghadiri majlis tahlil dan doa, kami tiga sahabat iaitu JY, Bang Mat dan Bang Hasyuda berhenti dan berdiri di luar rumah untuk bersama-sama mengaminkan doa untuk almarhum. JY segera terbayang raut wajah dan senyuman alhamrhum yang biasanya menjemput kami masuk setiap kali kehadiran kami ke Dangau Budaya sebelum ini. Kini suara, senyuman dan wajah itu tiada lagi untuk kami lihat dan dengar. Kerana kali ini kami menziarahi dan mengaminkan doa untuk seorang hamba Allah yang telah pergi meninggalkan kami, iaitu Almarhum Datuk Haji Shuhaibun Yussuf yang dikasihi.
Seusai mengerjakan fardhu isyak berjemaah, JY tidak terus meninggalkan sejadah. JY merenung sekitar rumah almarhum, maka ternampaklah segala tanda mata peninggalan beliau; sejumlah sijil pengiktirafan, penghargaan dan sanjungan buat almarhum, sejumlah duit syiling dan wang kertas lama yang tersusun rapi dalam bingkai, sejumlah gantungan lukisan tangan almarhum, artifak sejarah yang berharga dan banyak lagi yang terlihat oleh JY, mengungkit semula kenangan sepanjang bersama almarhum.
Batu Beranak - satu babak lucu yang masih segar dalam ingatan JY, pernah diceritakan oleh almarhum kepada kami ketika kunjungan ziarah IPS ke Dangau Budaya suatu ketika dulu. Kerana batu itulah yang menaikkan nama beliau sebagai 'tukang ubat' apabila berjaya membantu sepasang suami isteri di Tawau mendapatkan anak. Lucunya, apabila pasangan itu mendapat anak yang lebih pula, pasangan itu terpaksa berjumpa semula dengan almarhum untuk mendapatkan pula ubat 'penjarang' beranak. Sehingga kini 'Batu Beranak' itu masih disimpan oleh almarhum sehinggalah saat pemergiannya. Sehingga ke akhir hayat almarhum ayahnda, tiada apapun pemberian paling bernilai dapat kami bingkiskan untuk ayahnda selain doa....semoga ayahnda tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang solleh dan memperolehi rahmat di sisi Allah. Amin...
JY, Papar
26 Mac 2009