Pagi ini tiba-tiba teringatkan anak saudara JY, Eishqa Ashaqeela selepas 4 tahun pemakamannya. Anakku Haiqal mungkin tak sempat menatap wajah Eishqa tetapi memahami perasaan ayahnya melalui puisi ini. Eishqa, Allah lebih menyayangimu.
SEBUAH CATATAN UNTUK ABDULLAH, MUNIRAH DAN EISHQA ASHAQEELA
(JY, RR, Umi, Mim, Mera - pilunya melihat sebuah pemergian)
Abdullah, Munirah dan Eishqa Ashaqeela
raut wajah tak lagi mengukir
sebuah cinta wangi
selain esak tangis meruntun kalbu
pagi ramadan yang syumul
suara Abdullah dan Munirah
terdengar jelas di telinga Eishqa Ashaqeela
rintik jernih jatuh di pipi
melihat si kecil putih bersih
dalam ribaan bonda
seperti dirasainya kehangatan itu dalam tiada
Munirah, lihatlah Eishqa Ashaqeela ini
tanpa jemu dalam dakapmu
yakinlah, para malaikat mengerumuni si kecil
yang harum semerbak firdausi
mereka sama merasai kehangatan dakapanmu
mereka sama menjiwai kesyahduanmu
Abdullah, kau tangisi Eishqa Ashaqeela
sebelum dia menangis dahagakan susu
aku percaya sungai kasih ayah terhadap si kecil
mendepani batas lelakimu
Tuhan merahmati pemergian ini..!
Abdullah dan Munirah
pemergian Eishqa Ashaqeela penuh tragis
amat menyayat jiwa sesiapa yang menyaksikan
selaut cintakasih ayahbonda terhadap Eishqa
seluas benua kerinduan Eishqa terhadap ayahbondanya
sejuta rahmat Tuhan terhadap Eishqa Ashaqeela
“Ayahndaku Abdullah, bondaku Munirah
dan kekandaku Ezeiq
ini lampu syafa’at dari Eishqa Ashaqeela
menerangi kalian di hari kemudian
yakinlah…”
JY,
Sabah Medical Centre
Likas, Kota Kinabalu
2 November, 2004