30 January, 2009

Iman, Kampung Meruntum dan tragedi Gaza

Salam jumaat...penghulu segala hari.
Tengahari tadi JY diberi kudrat oleh Allah SWT untuk bersolat Jumaat di Masjid Kg. Meruntum, Putatan. Khatib yang bertugas kali ini ialah seorang yang amat akrab dengan JY, malah seluruh warga seni khususnya di Sabah. Beliau yang dimaksudkan ialah Sdr. Mohamed Hj. Salleh, atau Mat Konggo, atau lebih mesra dipanggil Bang Mat. Alhamdulillah, sidang jumaat di masjid tersebut nampaknya memahami dengan jelas intipati khutbah yang disampaikan. Memang benar, kesengsaraan saudara-saudara kita di Gaza, Palestin jauh untuk kita rasai di negara yang aman dan damai ini. Ketika menyambut tahun baru 2009 yang lalu, seluruh angkasaraya diwarnai bunga api tanda kegembiraan menyambut tahun baru. Tetapi dalam waktu yang sama, ada tubuh-tubuh kecil, lemah dan tak berupaya sedang melawan kesakitan dan menanti ajal dek keganasan Rejim Zionis laknatullah, yang membunuh dan menzalimi manusia di Gaza. Hingga kini, dan selama-lamanya Israel telah menoktahkan bahawa tiada belas kasihan untuk Palestin. Oleh itu, menurut kandungan khutbah itu, umat Islam seluruh dunia harus bangkit dengan semangat baru, menggunakan segala kelebihan ilmu dan pendekatan holistik, membuktikan kehebatan Islam yang pernah memimpin dunia suatu ketika dulu, disamping membantu dengan pelbagai cara terhadap saudara-saudara malang kita di Gaza yang teraniaya. Beberapa hari sebelum presiden Barrack Obama mengambil alih Rumah Putih, Perdana Menteri Israel Ehud Olmert mengarahkan supaya menghentikan serangan ke atas Gaza. Arahan ini tentunya ada kena mengena dengan peralihan kuasa antara George W. Bush dengan Obama, kerana umum ketahui tindak tanduk biadap Israel ke atas Palestin banyak dipengerahui oleh Amerika, khususnya ditangan Bush. Maka dengan itu, bumi Gaza pun reda untuk beberapa hari, sebelum beberapa serangan sudah mula dilancarkan beberapa jam yang lalu. Kandungan khutbah yang disampaikan oleh khatib, Iman Tuan Mohamed Hj. Salleh sebentar tadi banyak memberi keinsafan kepada kita seluruhnya, betapa bertuahnya kita yang mendiami bumi Malaysia yang jauh dari segala ketakutan dan huru hara. Sama-sama kita renungkan.

28 January, 2009

Munajatlah selepas berikhtiar...

Ya Allah
permudahkan segala urusanku
berikan aku rezeki yang banyak dan halal
berikan aku rezeki dari sumber-sumber yang tidak diduga
masukkanlah aku dikalangan hamba-hamba-Mu yang bersyukur
atas segala nikmat kurniaan-Mu
dan masukkan aku dikalangan hamba-hamba-Mu yang redha
atas segala ujian-Mu

Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha mengetahui
setiap detik dan denyut bisikan hati hamba-Mu ini
tentang kemahuanku, harapanku dan cita-citaku
maka apa kiranya, perkenankanlah oleh-Mu Ya Allah
permintaan hamba-Mu ini
Amin, ya rabbul ala'min.

16 January, 2009

Beberapa catatan JY hari ini

1. Pada 14 Januari, pagi-pagi lagi JY menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan jabatan. Dalam ucapan Ketua Pengarah, Dato' Dr. Hj. Azhar Ismail, seperti biasa beliau meminta semua pegawai dan kakitangan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan memantapkan integiriti ke tahap paling tinggi. Selain menyentuh cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam industri komoditi negara, beliau tidak lupa menyentuh mengenai isu kemanusiaan yang sedang melanda rakyat Palestin, di Gaza. Ketidakadilan dunia terutama pemimpin kuasa besar seperti Amerika memang banyak benarnya, apabila seolah-olah merestui kekejaman Rejim Zionis membunuh dan menzalimi penduduk Gaza, Palestin yang tidak berdosa. Apa tidaknya, selepas perang hampir sebulan di Gaza, hanya 13 orang tentera/penduduk Israel terbunuh, manakala hampir 1000 nyawa dan hampir 5000 cedera parah di Gaza. Di akhir majlis itu, Ketua Pengarah kami meminta supaya ditubuhkan Tabung Gaza diperingkat Jabatan dengan serta merta untuk membantu rakyat Palestin. JY sebenarnya berkesempatan mendeklamasi sebuah sajak berjudul MUNTAZER DAN SEBERKAS PUISI GAZA susulan dari kesedaran mengenai kesengsaraan saudara-saudara kita di Gaza.

2. Selepas majlis perhimpunan bulanan jabatan, JY terus ke DBP Sabah menghadiri satu sesi perjumpaan dengan Pengarah DBP Sabah bersama-sama beberapa aktivis Sastera antaranya Sdr. Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Naddin Shaiddin dan Shahirul Amirul. Pertemuan itu bagi maksud membincangkan pelaksanaan satu lagi acara baca puisi untuk mendapatkan sumbangan rakyat Palestin, dan pelancaran antologi puisi Gaza. Kegiatan ini akan diadakan pada 18 Januari 2009, bertempat di Kota Kinabalu.

3. Kelmarin, 15 Januari 2009, JY memulakan penggambaran tele-movie berjudul RUMAH HITAM arahan Ella Sabah di kampung Bundusan, Papar. Ini merupakan kali pertama JY beraksi di set, dan berjaya menghabiskan 2 scene dengan jayanya, walaupun beberapa kali juga diulang dan diulang lakonan dan dialog. Itu perkara biasa kata Bang Mat @ OM, seorang pelakon dan pelawak terkenal Sabah. JY merasai juga keakraban dan sifat saling memahami dan bekerjasama bersama kru Avicraft Production, sebuah produksi tempatan yang berpengalaman di negeri kita ini.

3. Hari ini (16 Januari 2009), JY akan ke lokasi lagi di Kampung Bundusan, bagi menghabiskan 1 lagi babak terakhir yang tidak sempat diselesaikan kelmarin. Mudahan segalanya akan berjalan lancar hari ini.

4. Sdr. Hasyuda sekarang berada di Kuala Terengganu, bagi maksud melaksanakan tugas dengan jabatanya Suruhanjaya Pilihanraya. Umum tahu, esok adalah hari pembuangan undi bagi parlimen Kuala Terengganu. Selamat betugas kepada HA.

Salam dari JY.

12 January, 2009

Muntazer dan seberkas puisi Gaza

Muntazer sahabatku
kalau ada seorang lagi sepertimu
pasti tidak kedengaran tangisan
yang menghiris kalbu di Gaza ini
mungkin?

lihat sahabatmu di bumi kacau bilau ini
tubuh-tubuh kecil yang putih
mudah saja dicabut nyawanya
orang-orang tua, yang tak lagi bisa berlari
hanya menghitung hujan peluru
yang menjunam ke bumi, ke dada mereka
satu demi satu menembusi kulit
kerana yang kebal hanyalah semangat mereka

Muntazer
kau dengarkah laungan Allahhu Akhbar bertalu-talu
disetiap celah batu, tanah, tembok dan bangkai rumah?
sedang laungan azan pun kian tertimbus
oleh letupan dan jentera perang
pengganas Israel laknatullah

Kali ini, di tengah medan Gaza
akan munculkah kumpulan seberani Muntazer
untuk mencabut nyawa soldadu-soldadu Israel
dan membaling batu tepat ke kepala Olmert

Semenanjung Gaza
lembaran 2009 dimulai catatan ngeri
tentang sungai darah dan airmata tak berdosa
bilakah semua ini akan berakhir?


Jasni Yakub @ JY
Kota Kinabalu
SABAH

12 Januari 2009

09 January, 2009

2 catatan JY pagi ini

1. JY tertarik membaca tulisan Sdrku ANS mengenai Spiderman yang menjadi kegilaan anaknya, Fawzan. Kerana model superhero ini juga menjadi kegilaan anak lelaki ke empat JY, Haiqal. Di kedai, apa-apa saja barangan mempunyai logo Spiderman seperti baju, seluar, topeng, bola, kasut dan macam-macam lagi pasti menarik perhatian Haiqal. Semasa usia Haiqal 2 tahun setengah, Rosnah pernah belikannya sepasang baju Spiderman. Apabila sampai di rumah, Rosnah pula terpaksa menggunting 'kain sayap' di belakang baju yang dibelikan untuk Haiqal kerana bimbang kalau-kalau Haiqal nanti terbang seperti Spiderman. Kerana percubaan pertama untuk terbang telah dilakukan oleh Haiqal sebelum itu, nasib baik dari kerusi ke lantai sahaja. JY teringat tragedi seorang kanak-kanak jatuh dari bangunan beberapa tingkat tidak lama dulu kerana dikatakan cuba meniru gaya Sipderman terbang. Wal-iya-zubillah. Tapi bukan gaya Spiderman sahaja yang ditiru oleh Haiqal, malah Ultraman dan Cicakman juga tidak ketinggalan. Aduhai...sesekali bercerita kisah anak-anak ini seronok juga saduara-saudara.

2. Petang kelmarin, Sdr. Jasni Matlani @ JM menelefon JY memberitahu satu mesyuarat tergempar mengenai penganjuran Acara Baca Puisi Tentang Palestin di DBP Cawangan Sabah, pada 10 Januari 2009, jam 10 pagi. Mesyuarat ini melibatkan para penggerak acara ini iaitu BAHASA, IPS dan badan-badan NGO lain yang turut dijemput. Acara Baca Puisi Palestin dicadang diadakan pada 18 Januari 2009, bertempat di Lintasan Diasoka, Kota Kinabalu sebagai satu cara memprotes dan mengutuk kekejaman dan pencerobohan membabi buta Israel terhadap Palestin, sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa di bumi Palestin. Selain itu, acara ini juga memberi peluang kepada orang ramai menghulurkan derma untuk tabung Palestin. Semua individu yang telah dijemput menghadiri mesyuarat ini diharap dapat meluangkan masa menghadiri mesyuarat ini esok.

08 January, 2009

Bagaimana bermulanya Israel menguasai Palestin

Bagaimana bermulanya Israel menguasai Palestin
Abdul Shukur Harun
Tue | Jan 06, 09 | 6:02:49 pm MYT

Ketika rencana ini ditulis kita tidak tahu bagaimana akhrnya nasib penduduk Gaza, Palestin yang sedang dikepung, diseksa dan dibunuh oleh rejim Israel, pada ketika yang sama pemimpin dunia Islam, khususnya dunia Arab, hanya 'terkebil-kebil' mendengar dan melihat penyeksaan rejim Yahudi ini di kaca TV.

Kutukan demi kutukan dari pemimpin umat Islam, dari anggota OIC dan NGO-NGO hak-hak asasi manusia. Sementara Kesatuan Eropah dan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amerika hanya meminta tentera Israel tidak menyerang kawasan penduduk awam, ertinya bolehlah menyerang untuk sasaran militan Arab di Gaza saja.

Peristiwa serangan ini adalah ulangan tindakan Israel sejak puluhan tahun lalu dan hingga kini, iaitu sejak zaman Presiden Richard Nixon, malah sebelum itu lagi, hingga zaman Barack Obama yang sesetengah orang diharapkan ada perubahan.

Kini serangan itu berterusan, ratusan rakyat Gaza terbunuh setiap hari, mayat bergelimpangan, bangunan runtuh, hospital musnah, tidak ada jalan keluar bagi rakyat Gaza untuk mendapatkan makanan.

Mesir juga menutup sempadannya untuk tidak membenarkan pelarian Palestin tumpah lagi ke negara itu. Syria, Libya, Jordan dan negara Arab lain tidak lagi mampu menerima pelarian yang berjumlah berjuta-juta banyaknya.

Ini adalah episod yang sangat mememilukan, sebuah tragedi kemanuiaan yang tidak ada tandingannya, bahkan tragedi kemanusiaan ini melebihi pembunuhan Nazi Jarman terhadap orang Yahudi di Eropah.

Tidak ada siapa yang ditakuti oleh rejim Tel Aviv sekarang, justeru kerana Amerika, di bawah presiden barupun tetap menyokong mereka. Malah Amerika terus menerus melindungi kepentingan Yahudi.

Maka jadilah rakyat Paletin di Gaza itu 'bahan ratahan' tentera Israel. Anak-anak muda Palestin meluru ke jalan-jalan raya melemparkan batu ke arah tentera dan keretakebal Israel, lalu dari muncung kereta kebal Israel itu memuntahkan peluru meriam yang membunuh mereka dengan mudah.

Bayangkan bagaimana anak-anak muda Palsetin yang hanya bersenjatakan batu di tangan boleh melawan tentera Israel dengan segala peralatannya. Namun itulah yang terjadi. Inilah pemandangan ngeri yang berterusan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

Adakah harapan buat Obama?


Adakah rakyat Palestin ini mempunyai masa depan? Ini pertanyaan yang sangat sukar dijawab, walaupun daripada pakar mengenai Asia Barat sendiri. Memang ada sesetengah pihak mengharapkan Obama yang berkulit hitam itu melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu Palestin, namun nampaknya rejim tentera Tel Aviv, pimpinan Menteri Pertahanannya yang sangat ganas, Ehud Barat, tidak mungkin bersedia menghentikan serangannya. Ini kerana dia tahu, Amerika dan sekutunya akan terus menyokong Israel.

Jika begitu keadaannya, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Israel menuduh para pejuang Hamas melancarkan roket di kawasan Israel, ada yang mengena sasaran dan ada yang tidak. Namun hujan roket dari Israel, di samping meriam kereta kebal mereka terus menerus membunuh rakyat Palestin.

Sementara itu bagaimana sikap pemimpin umat Islam, khususnya pemimpin dunia Arab? Selagi mereka masih kekal dengan sikap assobiyah Arab mereka, tidak bersatu atas nama Islam untuk memerangi rejim Yahudi, maka tidak mungkin rejim itu boleh berundur.

Kerdilnya negara Arab

Bayangkan setiap tahun negara Arab membelanjakan beratus bilion dollar Amerika untuk membeli senjata api tercanggih dari pelbagai negara Barat, khususnya Amerika. Namun negara Arab tidak juga mampu memperlihatkan kekuatan tentera mereka untuk menghadapi Israel.

Akhirnya negara Arab hanya menjadi 'pengguna' setia senjata moden Barat, sementara senjata itu tidak juga menolong memperlihatkan 'izzah' (keunggulan, kehebatan) negara Arab sehingga menggerunkan Israel.

Inilah yang berlaku terus menerus, pada ketika yang sama, siapapun yang menjadi Presiden Amerika, negara itu terus melindungi kepentingan Israel.

Benarlah kata ulama tersohor, Sayyid Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam bahawa negara umat Islam perlulah memiliki ilmu dan kekuatan senjata yang cukup disertai kemajuan teknologi supaya dengan kekuatan itu mereka mampu memimpin dunia.

Malangnya, kata An-Nadawi, hampir semua kekuatan ini kini tidak dimiliki oleh umat Islam, pada hal di zaman dulu, umat Islamlah yang memiliki semua kekuatan ini. Kini, katanya, pemimpin negara Arab hanya memikirkan kepentingan negara masing-masing, dilatari oleh sikap assobiyah, atau perkauman Arab yang semakin menebal.

Perlu diingat, kata An-Nadawi lagi, sikap ini menyebabkan runtuhnya Daulah Islamiyah Turki pada tahun 1924, iaitu di tengah-tengah Assobiyah Arab yang tebal itu, ia bertembung pula dengan assobiyah Turki kerana ketika itu Turki juga sangat angkuh dan merasakan ia adalah bangsa besar. Inilah kesan buruk yang dialami sehingga keadaan menjadi begini.

Mula tergadai

Sementara itu, ketika menyaksikan penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh rejim Irael itu, kita teringat bagaimana mulanya tanah atau bumi Palestin ini tergadai dan dijual kepada Palestin.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abd Hamid II, Sultan Turki terakhir, telah digubal undang-undang dan disahkan di Parlimen Turki bahawa semua tanah yang dimiliki oleh orang Arab di Palestin (ketika itu di bawah riayah Daulah Othmaniyah Turki) dilarang dijual kepada Yahudi.

Ini menimbulkan kemarahan British dan Perancis, justru kerana dua negara Eropah itu mahu memperkukuh kedudukan masa depan Yahudi di negara Palestin.

Namun setelah kejatuhan Daulah Othmaniyah Turki, undang-undang itu dimansuhkan oeh Kemal Attaturk yang merampas kuasa. Lalu dengan pantas orang Yahudi di Palestin berebut-rebut membeli tanah orang Arab di sana, sementara orang Arab Palestin itu sendiri rela pula menjual tanah mereka.

Dengan itu banyak tanah hak milik Arab Palestin bertukar tangan menjadi hak milik Yahudi hingga kini.

Tanah itu kini didiami oleh orang Yahudi, ditambah pula wujudnya penempatan baru, iaitu tanah yang dirampas dari rakyat Palestin sendiri. Demikianlah sejarah hitam bumi Palestin.

Maka itu ketika Israel menguatkan cengkamannya di bumi para anbia ini, dalam usaha mereka hendak menghapuskan rakyat Palestin, wajar kita merenung semua sejarah pahit ini. Namun pandangan An-Nadawi ini sangat wajar diberikan perhatian. _

Sumber : Harakah Online (8/1/2009)

06 January, 2009

Insiden kasut terbang - sepatutnya juga melencong ke mana?

Kasut itu sepatutnya singgah ke muka pemimpin Arab
Ahmad Tajdid
Thu | Jan 01, 09 | 1:02:48 pm MYT

Stesen TV Al-Jazeera dalam rancangan "Inside" yang disiarkan di Malaysia melalui rangkaian Astro, 31 Disember lalu menampilkan debat dalam talian (online) antara tiga panelis berhubung isu serangan terbaru regim haram Israel ke atas semenanjung Gaza.

Ia menampilkan seorang aktivis media Palestin berbangsa Arab, aktivis hak asasi manusia berpangkalan di London berbangsa Inggeris, dan seorang ahli akademik Israel berbangsa Yahudi.

Ketiga-tiga panelis memberikan hujah mereka secara bersahaja dan meyakinkan, menandakan konflik yang berlaku di Palestin kini memang sudah berada dikotak pemikiran mereka.

Aktivis media Palestin berbangsa Arab itu sudah pasti memberikan pandangan bersandarkan fakta yang menyebelahi rakyat Palestin, yang bagi beliau menjadi mangsa kekejaman Isreal. Israel baginya bukan sahaja bermaharajalela menyerang, menindas dan membunuh rakyat Palestin; malah berjaya meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa negara pengganas itu adalah sebenarnya 'mangsa' kepada tindakan ganas rakyat Palestin khususnya Hamas. Dan tindakan Israel menyerang Palestin dilihat oleh sekutu-sekutu rapatnya - Amerika, Britain dan Eropah - sebagai usaha mempertahankan diri daripada serangan pejuang Hamas!

Aktivis hak asasi manusia berpusat di London - seorang perempuan tua berbangsa Inggeris - secara terang-terangan membela Hamas yang pada hemat dirinya adalah pertubuhan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Beliau bukan sahaja mengecam Israel kerana keganasannya, tetapi juga menempelak kuasa besar dunia khususnya Amerika yang enggan menerima Hamas sebagai penguasa di Gaza; satu pilihan rakyat Palestin yang dibuat melalui proses demokrasi.

Seorang lagi panelis, ahli akademik Israel pula pastinya melihat isu itu melalui sudut pandang negaranya. Beliau membela kempen serangan Isreal terhadap Gaza dan menyalahkan Hamas yang baginya menjadi duri dalam daging kewujudan negara Israel. Hamas bagi beliau adalah kumpulan pengganas yang dikelompokkan bersama Syria, Iran dan Hizbullah. "Paksi kejahatan" ini, tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan mahu negara Yahudi itu dihapuskan daripada peta dunia.

Perbincangan atau lebih tepatnya perdebatan antara tiga panelis itu amat menarik untuk disorot. Bagaimanapun penulis rasa terpana dengan sanggahan hujah ahli akademik Israel itu.

Menurut beliau, jika benar serangan Isreal terhadap Gaza itu bakal menggugat keamanan serantau dan menjadikan rantau Timur Tengah sebagai tidak stabil, mengapa tiada sebarang tindakan atau bantahan dibuat oleh negara-negara Arab di rantau itu terhadap operasi ganas tentera Israel di Gaza? Dan baginya, sikap tidak peduli dan acuh tak acuh negara-negara Arab serantau terhadap konflik terkini yang tercetus di Gaza, menandakan kempen ganas Israel terhadap penduduk Palestin khususnya pejuang Hamas 'direstui' negara-negara tersebut.

Maka penulis pun teringat kisah seorang wartawan Iraq, Muntazer Al-Zaidi yang melemparkan kasut ke arah Presiden Amerika, George Bush dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki di Baghdad, baru-baru ini.

Muntazer ditangkap dan bakal didakwa kerana kesalahan menghina seorang pemimpin negara asing.

Beliau tidak menyesali tindakannya itu malah dianggap sebagai hero oleh masyarakat Arab kerana berjaya memalukan Bush yang banyak melakukan jenayah kemanusiaan di rantau itu. Ada yang mahu menjadikannya menantu kerana tertarik dengan keberaniannya. Tidak kurang juga yang berdemonstrasi membawa kasut di tangan bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Muntazer.

Menyesali kegagalan pemimpin-pemimpin negara Arab menangani isu Palestin apatah lagi membela rakyat Palestin di Gaza yang kini menjadi bahan belasahan Isreal; alangkah baiknya jika kasut-kasut pemuda Arab itu singgah ke hidung-hidung para pemimpin mereka!

Sumber - Harakah Online (6 Januari 2008)

05 January, 2009

Catatan JY hari ini...

1. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ayah adalah wajib hukumnya. Sebab itu, pada pagi 2 Januari lalu, JY menguruskan pendaftaran persekolahan Ameera ke tahun 3 di Sekolah Rendah Pengalat Kecil, Papar. Pada 3 Januari lalu, JY ke Sekolah Menengah Benoni, Papar pula untuk urusan pendafratan dua orang anak ke sekolah menengah. Urusan yang kebiasaannya diserahkan kepada kaum ibu ini begitu sinonim berlaku di mana-mana sekolahpun di negara kita. Kemudian pada petangnya, JY menemui Sdr Hasyuda di Wawasan Plaza, sambil minum dan bercerita tentang beberapa peluang pelaburan. Banyak informasi yang JY perolehi dan tentunya menambahkan lagi keyakinan JY untuk menyertainya. Insya-Allah, dalam sedikit masa ini niat JY akan terlaksana.

2. Pertemuan dengan Bang Mat @ Sdr. Mohamed Hj. Salleh @ OM berlangsung atas beberapa sebab. Pada petang 3 Januari, JY dan OM ke Kampung Bundusan, Papar mencari lokasi penggambaran telemovie Rumah Hitam arahan anaknya, Ella Sabah. Beberapa ketika 'meninjau dan meronda' akhirnya kami menemui sebuah rumah kampung yang menepati citarasa Bang Mat. Setelah memberi salam, kami dipesilakan naik oleh pemilik rumah. Pendek kata, urusan kami dipermudahkan Allah, kerana pemilik rumah itu kebetulah mengenali Bang Mat. Maka urusan menyatakan hajat dan perundingan mengenai penggambaran pun berjalan dengan lancar. Maka itu, insya-Allah penggambaran akan bermula di rumah itu pada 10 Januari akan datang.

3. JY menerima sebuah lukisan dari Bang Mat yang sarat dengan persoalan mengenai kehidupan, perjuangan dan emosi. Sebuah lukisan 'abstrak' dari Bang Mat...JY berikan judul "Pemikiran yang tumbuh dalam kehidupan" sebagai menghargai perjuangan Bang Mat selama berpuluh tahun dalam dunia seni. Lukisan itu JY abadikan di dinding, disudut khas rumah JY supaya JY sentiasa dapat merenung, mentafsir dan mengkoreksi perjalanan kehidupan yang tak pernah berhenti ini. Menghalusi kerja tangan Bang Mat melahirkan sebuah abstrak "Pemikiran yang tumbuh dalam kehidupan", mengajar JY banyak hal mengenai kesempurnaan kejadian manusia, dari titik Alif ke Ya', tentang perjuangan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Semuanya bertepatan dengan makna hijrah yang dituntut dalam agamaku, agama kita, agama Allah. Terima kasih Bang Mat.

Salam hirjah dari JY.

02 January, 2009

JY sertai sesi ujibakat pelakon telemovie

Seminggu sudah berlalu, JY masih teringat kenangan ketika menghadiri sesi ujibakat pelakon telemovie bertempat di Dang Azie Corner, Papar pada 27 Disember 2008 yang lalu. "Wah, mahu jadi pelakon lagi kali ini....!" Begitu kata Rosnah, isteriku yang sentiasa memberi semangat terhadap apa juga kegiatan seni yang JY sertai. JY tidak pula mengharapkan menjadi seorang pelakon, tapi jika terpilih alhamdulillah, rezeki JY. Niat JY menghadiri sesi ujibakat hari itu kerana 2 sebab iaitu, pertama menghargai dan menghormati pelawaan Sdr. Muhamad Haji Salleh @ OM - seorang pelakon, dramatis, pelawak dan juga penyair Sabah, yang meminta JY hadir untuk sesi ujibakat, dan kedua, JY ingin merasai sendiri bagaimana di 'screen test' secara 'live' depan kamera, dan disaksikan oleh beberapa orang panel, sambil beraksi mengikut dialog yang dihafal dan kehendak pengarah. Wah, sungguh mencabar sekali tempoh 10 minit yang JY lalui, kerana sebelum masuk ke 'set', JY kena menghafal skrip mengandungi 6 dialog. "Tak semestinya hafal skrip 100%, tapi yang penting faham jalan cerita", itu satu tips yang banyak membantu JY kali ini yang pernah diungkapkan oleh Cikgu Ramli Jusoh, seorang pentadbir teater sewaktu JY berlakon teater lewat November tahun lalu. Selesai JY menjalani sesi ujibakat, JY mendapat ucapan tahniah dari Sdr. OM (entah apakah maksud ucapan tahniahnya itu). Menurutnya, penggambaran untuk telemovie ini akan dibuat di sekitar Papar dan anaknya, Ella Sabah memilih judul Rumah Hitam untuk telemovie arahannya kali ini. Mudah-mudahan projek ini akan berjalan seperti yang dirancang dan bukan sahaja berjaya mengetengahkan pelakon-pelakon baru, tetapi memperkenalkan daerah Papar sebagai pusat seni dan produk pelancongan baru kepada masyarakat kebanyakan. Insya-Allah.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya