18 February, 2009

Beberapa catatan penting JY

1. Lama JY tak mengemaskini KABANKARYAJY lantaran kesibukan kerja. Minggu lalu baru selesai mendidik anak-anak PLKN di Kem KK Di Bawah Bayu, Tuaran. Dua hari berhempas pulas mengejar masa sekurang-kurangnya 15 jam pengajaran, dan seboleh-bolehnya menghabiskan silibus PPSB untuk mereka. Letihnya amat terasa tetapi kepuasan tetap menjadi raja dalam diri dan hati kami selepas penutupan PPSB 10 Februari 2009 yang lalu, apabila semuanya berjalan lancar dan para pelatih dapat menterjemahkan apa yang kami berikan, iaitu penghayatan sastera dan budaya.

2. Tahniah kepada Sdr. Hasyuda kerana beliau kini memiliki Website sendiri yang dikenali sebagai 'KREATIFHA'. Memang layak beliau memilikinya kerana masyarakat bukan saja dapat menikmati karya-karya agungnya terutama puisi, tetapi websitenya juga boleh dijadikan hub pencarian maklumat yang mesra pengguna. Beberapa website yang dulunya terpaksa dilalui dengan menaip alamat tertentu kini boleh diakses terus dari website Sdr. Hasyuda. Tahniah! Kami tumpang berbangga....

2. Tarikh 14-15 Februari yang lalu menjadi penting dalam kalender keluarga JY kerana waktu itu anak kecil JY, Ummu Zulaikha Elzahra diraikan dalam majlis 'gunting rambut' nya di kampung Tamisan, Kota Marudu. Dalam usia El mencecah 2 bulan hari ini (18/2/2009), semakin banyak cabaran yang JY lalui. Antaranya karenah Haiqal, dan anak-anak yang lain dan El sendiri. Rosnah juga mengalami situasi serupa, terlalu mencabar! Mungkin JY kurang memahami, tetapi berusaha sedaya mengimbanginya. Ketika suasana gembira di kampung, JY teringat Ummi yang tak dapat turut serta kerana tak dibenarkan keluar asrama. Ummi rupanya merasai keadaan itu apabila beberapa kali menghubungi dan menghantar sms pada JY. Syukurlah kerana Ummi adalah anakku.

3. Mendapat sms dari Bang Mat pagi tadi membuatkan JY terkejut. JY lantas menghubunginya bertanyakan khabar. Bang Mat sekarang ini sedang sakit. Bila JY bertanya sakit apa, Bang Mat kata 'sakit macam-macam'. JY segera teringat pula penyakit lamanya beberapa tahun dulu. Ya Allah, mohon dijauhkan apa-apa jua penyakit terhadap hamba Mu itu Ya Allah. Amin...

4. Membaca akhbar Harian Express hari ini, menyedarkan JY betapa jauhnya lagi perjalanan yang perlu dilalui, khususnya penglibatan JY dalam seni. Tersiar berita telemovie Rumah Hitam arahan Ella Sabah, dimana JY salah seorang pelakonnya, mengingatkan JY pada Bang Mat yang bertanggungjawab membawa JY ke dunia lakonan. Seperti kata Bang Mat, 'biar tinggi manapun bakat, tapi jika tak diberikan ruang, kita tak akan nampak hasilnya'. Itu kata-kata Bang Mat yang telah ditunaikannya kepada JY sejak perkenalan awal kami sekitar tahun 2006 lalu. Tunggulah kemunculan Rumah Hitam pada awal April nanti.

Salam, JY.

Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya