30 June, 2017

Majlis Hari Raya penulis bersama YB Datuk Hj. Mohd. Arffin Arif...

Majlis Sambutan Hari Raya Penulis bersama YB Datuk Haji Mohd Ariffin Arif, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah akan diadakan pada Isnin, 10 Julai 2017, bermual jam 11.00 pagi, bertempat di Dewan Madani, Tingkat 2, Wisma MUIS. Tujuan majlis ini diadakan antaranya adalah bagi meraikan sumbangan golongan penulis, mengeratkan hubungan silaturrahim dan memberi peluang kepada golongan penulis bertemu dan bersama dengan para pemimpin khususnya Hari Raya. Beberapa acara dijangka turut diadakan antaranya ucapan, acara baca puisi, persembahan lagu puisi, lagu hari raya dan jamuan raya. Semua penulis, penggiat sastera dan orang ramai sekitar Kota Kinabalu adalah dijemput hadir...JY

28 June, 2017

JY terima Kad Raya...

Kad raya pertama diterima pada raya keempat hari ini dariapada seorang sahabat penulis di Pahang. Terima kasih Sdr. Usman Ibrahim, Setiausaha Dua GAPENA atas kiriman kadnya. Selamat Hari Raya, Maaf Dzahir dan Bathin...


tentang RAYA...

Sekarang ini makin menjadi popular ungkapan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Bathin, 0 - 0..." Yang tambahan "0-0" itu untuk apa ya?

23 June, 2017

Kelab Teater BAHASA (KTB) di persada teater Sabah...

Seni berteater di Sabah telah dirancakkan oleh para pemuka teater Sabah sejak sekian lama. Pemuka teater yang masih segar diingatan antaranya Osman Nasroh, Masbak, Ismaily Bongsu, Abdul Karim Gullam, Hassan Saprin, Karim Kadir, Datu Ruslan Sulai, Ramli Jusoh, Rashid Deman, Maskuji dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama). Akhir-akhir ini, ramai bakat-bakat baru yang muncul turut sama menyemarakkan lagi persada teater negeri Sabah.

Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) tidak ketinggalan dalam hal ini. BAHASA juga menubuhkan Kelab Teater BAHASA (KTB). Bermula penubuhannya pada tahun 2009, KTB melahirkan beberapa muka baru yang memeriahkan teater di Sabah antaranya Jasni Yakub, Esther Clement Tubong, Jovenea Jim, Hendery Marius dan Martin Omat, disamping pelakon-pelakon berpengalaman sediada seperti Duliam Suari, Ali Amat Anas, Nim Yorza, Cliff Kamijan dan Sanuddin Hassan.

KTB merupakan peluang terbaik bagi bakat-bakat baru mengasah dan meningkatkan kualiti lakonan masing-masing, apatah lagi dibawah bimbingan pelakon dan pengarah teater terkenal negeri Sabah, Abdul Karim Gullam. Selepas dua tahun Festival Teater Negeri Sabah 2015 berlalu, dan produksi teater Pulau Tanpa Cinta yang dipentaskan oleh KTB waktu itu pun sudah ditelan waktu, tahun ini KTB dijangka turun semula ke gelanggang sayembara sempena Manifestasi Teater Sabah 2017 dan bakal mementaskan satu lagi teater menarik diadaptasi dari novel karya penyair tersohor Malaysia, Jasni Matlani. Oktober tahun ini sekali lagi menyaksikan kebanyakan kumpulan teater dan penggiat penggiat teater Sabah berkampung di Auditorium JKKN Sabah menyaksikan kerancakan aksi peserta di pentas teater.

Marilah kita semua bersama-sama menyemarakkan kegiatan berteater di Sabah....JY


Hendery Marius (berbaju T putih) dan Martin Omat antara pelakon teater muda yang berbakat di Sabah.


Kehangatan berteater di Sabah kembali lagi...

Kegiatan berteater di Sabah bakal kembali dan menemui khalayak sempena Manifestasi Teater Negeri Sabah (MTS) 2017 yang dijangka berlangsung pada 5-10 Oktober 2017, di Auditorium JKKN Sabah, Jalan Penampang, Sabah. MTS 2017 terbuka kepada badan bukan kerajaan, syarikat seni dan IPTA/IPTS yang berdaftar atau tidak berdaftar untuk pertandingan di peringkat negeri. MTS 2017 kali ini menawarkan hadiah kepada pemenang iaitu RM 1,000.00 untuk Johan, RM 700.00 untuk Naib Johan dan RM 500.00 bagi tempat ke - 3. Hadiah-hadiah lain ialah kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik dan Sinografi Terbaik menanti para pemenang. Maklumat lanjut mengenai MTS 2017 dan pertanyaan mengenai borang-borang pertandingan boleh menghubungi pihak JKKN Sabah pada waktu pejabat di talian 088-237051....JY

Selamat bersara boss kami Tuan Haji Mohd Pozi Awang...

Bulan Mei 2017 yang lalu, selepas 26 berkhidmat di Lembaga Koko Malaysia, tibalah detik bersejarah dan penuh makna bagi pegawai dan kakitangan Unit Perkhidmatan Teknologi Maklumat, Ibu Pejabat, Lembaga Koko Malaysia, Kota Kinabalu, Sabah apabila meraikan persaraan seorang pegawai dan ketua yang amat berdedikasi iaitu Tuan Haji Mohd. Pozi bin Awang. Beliau yang berasal dari Kelantan memiliki Diploma IT dan sarjana dalam bidang perniagaan telah memimpin Unit Perkhidmatan Teknologi Maklumat LKM selama 21. Dibawah teraju beliau, banyak kemajuan dan pelonjakan prestasi di Unit IT termasuk pembangunan sistem keselamatan IT dan lain-lain dapat dimanfaatkan oleh pegawai dan kakitangan LKM.

Mesyuarat Unit IT di Ibu Pejabat LKM pada 25/5/2017 yang lalu merupakan kali terakhir dipengerusikan oleh beliau yang sempat berkongsi beberapa tips, pesanan dan nasihat sebagai panduan kepada pegawai dan kakitangan Unit IT dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Selesai bermesyuarat, diadakan pula satu acara ringkas meraikan persaraan beliau. Dalam acara tersebut, beberapa segmen dimuatkan antaranya acara pengkisahan yang menyaksikan suasana sedih dan pilu menyelubungi setiap kakitangan ketika berkongsi kenangan, acara memotong kek sebagai simbolik persahabatan dan kasih sayang, dan acara penyampian cenderamata yang disampaikan oleh Tuan Haji Kharmar Sukarno.

Semoga Tuan Haji Mohd. Pozi Awang suksess dalam mendepani hari-hari muka dan melalui gapura persaraan dalam keadaan yang menyeronokkan. Moga terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan dari Allah SWT untuk terus berkhidmat kepada bangsa dan negara selepas ini...selamat bersara!

Labuan tidak berbukit,
Ada bukit di Batu Arang;
Jasa tuan bukan sedikit,
Dari dahulu sampai sekarang.
Tuan Haji Mohd. Pozi Awang (tengah, bersongkok) merakam gambar kenangan bersama staff Unit Perkhidmatan Teknologi Maklumat, Lembaga Koko Malaysia dalam acara tersebut.

Golongan penulis Sabah masih menunggu pertemuan dengan YAB PM...

Golongan penulis negeri Sabah masih menunggu acara pertemuan dan sesi dialog dengan YAB Datuk Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Baru baru ini satu memorandum bersama yang ditandatangani oleh lebih 600 golongan penulis dan penggiat sastera dari beberapa persatuan antaranya Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah (IPS), Kelab Penulis Kadazandusun-Murut (MOMOGUNSIA), Jom Sastera Sabah dan Kelab Seni Kinabatangan (KAPUK) telah dihantar ke pejabat YAB Perdana Menteri. Golongan penulis Sabah masih mengharapkan agar YAB Perdana Menteri akan mengambil perhatian dan meneliti isi kandungan memorandum tersebut sekaligus sudi mengadakan pertemuan dengan para penulis Sabah. Golongan Penulis juga berperanan membantu menyampai dan menyebarluas asiprasi kerajaan dalam konteks karya. Kehadiran YAB Perdana Menteri dalam sesi pertemuan dan dialog itu nanti dapat mengungkayahkan permasalahan dan keluhan para penulis Sabah dalam gerakan memartabatkan sastera dan kesusasteraan di negeri ini
Jasni Matlani (tengah) bersama Jasni Yakub (kiri) dan Sanuddin Hassan menunjukkan memorandum yang dihantar kepada YAB Perdana Menteri Malaysia di Kota Kinabalu baru-baru ini.
.

selepas 100 hari pemergianmu..

mama, 100 hari selepas pemergianmu
kami tandai dengan tahlil
sebagai mengingatimu
moga damailah ruhmu
di alam sana

jy, kk
22/6/2017

22 June, 2017

Wangi Ramadan

meniti jambatan ramadan
kini semakin di penghujung
gapura syawal makin jelas di hadapan
wangi ramadan berterusan harum

JY, kk
22 Jun 2017

Tentang sepohon pokok II

teman
ingati kata kata ini
masa senang
orang rapat mendekat
masa susah
orang lari menjauh
biasanya begitulah
persahabatan persis sepohon pokok
daun hijau utuh ditangkai
daun kuning melayang gugur
ranting kuat berpaut di dahan
ranting rapuh patah bersepah
dan yang setia tetaplah berdiri bersama pohon
lihat kiri kanan mu sekarang
apa warna teman sekelilingmu?

JY, kota kinabalu
22 Jun 2017


Awan, angin, silau dan upaya

Awan yang baldu Tanpa semilir angin Tapi masih ada silau Yang memberiku upaya